ALOR SETAR: Pintu rundingan antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) sentiasa terbuka dan masih berjalan ketika ini melibatkan pimpinan serta ahli akar umbi kedua-dua parti berkenaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataan demi kenyataan berhubung kerjasama itu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menjadi gambaran keseluruhan pendirian sebenar parti itu.

Beliau juga tidak menolak sebarang kemungkinan untuk Pas bekerjasama dengan UMNO dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) meskipun Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam pilihanr aya berkenaan.

Ianya adalah berdasarkan sifat politik yang sentiasa berubah-ubah dan berbentuk dinamik.

"(Suara) UMNO (ini) bukan Presiden UMNO sahaja, (mereka) ada Majlis Tertinggi, ada (Majlis Kerja Tertinggi) MKT, (dan) ada Badan-badan Perhubungan Negeri.

"(Untuk kerjasama ini) kita masih berpegang kepada perkara asal antara Pas dan UMNO semasa kita menubuhkan Muafakat Nasional, 

"(Ketika itu) kita bersetuju bukan sahaja UMNO dan Pas, termasuk Bersatu dan mana-mana NGO yang nak ikut serta, kita terima, (dan setakat ini) Pas masih berpegang kepada itu," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Semalam, dalam satu kenyataan di Facebook, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Pas telah mengoyakkan kepercayaan yang menjadi kunci kejayaan dan kestabilan politik menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, prinsip yang menjadi pegangan kedua-dua parti politik Melayu Islam terbesar negara itu dirobek Pas apabila bertindak memilih bersama Bersatu di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Mengakui realiti politik semasa yang perlu dihadapi, Ahmad Zahid berkata, UMNO kini perlu maju ke hadapan bersandarkan keputusan bergerak secara solo akibat tindak-tanduk serta sikap ditonjolkan Pas hingga merosakkan kerjasama berkenaan.