BUKIT GANTANG: Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yakin gabungan itu mampu menang keempat-empat kerusi yang dipertandingkan di kawasan tersebut.

Bahkan, beliau juga yakin PN mampu memperoleh lebih banyak undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menyasarkan lebih 30,000 undi dalam PRU15 di kerusi Parlimen.

Menurutnya, meskipun bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14 namun beliau percaya kemenangannya pada 2018 akan berulang walaupun kali ini bersama gabungan baharu.

BACA: PRU15: Syed Abu Hussin sedia pertahan kerusi Bukit Gantang

“Kemenangan lepas atas nama BN, sebenarnya bukanlah semata-mata kerana BN tetapi atas kerja keras yang dibuat oleh jentera saya.

“Sekarang jentera itu masih bersama dengan saya, jawatankuasa wanita peringkat (UMNO) Bahagian Bukit Gantang, satu-satunya jawatankuasa yang letakkan jawatan, ikut saya. Inilah keyakinan yang saya ada.

“Pas dengan jentera yang ada dan saya dengan jentera yang telah terbukti pada pilihan raya lepas. Kombinasi ini akan menambah undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Astro AWANI.

Katanya lagi, beliau yakin mampu menang dengan majoriti lebih 8,000 undi, sekali ganda lebih besar berbanding keputusan pada PRU14.

PRU15 | Syed Abu Hussin sedia pertahan Bukit Gantang, tanding Bebas

Saingan pada empat tahun lepas itu menyaksikan Syed Abu Hussin Hafiz yang ketika itu bertanding mewakili BN menang kerusi tersebut selepas mendapat 22,450 undi.

Beliau menewaskan Datuk Khadri Khalid dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Idris Ahmad dari Pas dan menang dengan majoriti 4,089 undi.


Dalam pada itu, beliau berkata sentimen dalam PRU15 berbeza dengan PRU14 kerana kali ini, rakyat lebih melihat kepada calon dan bukan kepada parti semata-mata.

“Maknanya yang pertama sekali, mereka tidak lagi melihat parti. Perubahan dan berlaku di Malaysia.

“Mereka akan lihat siapa menjadi calon, apa latar belakang calon, apa calon buat dan ini menjadi keyakinan pada saya bahawa kewibawaan calon, ketrampilan, calon, perkhidmatan calon akan diambil kira.

“Kalau dulu orang kata letak songkok boleh menang tapi sekarang tak boleh dah,” ujarnya.