KUALA LUMPUR: Banyak sejarah tercipta pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, antaranya ialah jumlah calon wanita.

Berjumlah 187 orang - 127 untuk kerusi Parlimen dan 60 di peringkat Dewan Undangan Negeri -, ia adalah paling ramai dalam sejarah pilihan raya negara setakat ini. Namun, di peringkat persekutuan, angka 127 itu hanyalah 13.4 peratus daripada keseluruhan 945 calon yang bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat. Jelas, ia jauh daripada sasaran 30 peratus wakil wanita yang dijanjikan oleh pemimpin politik kira-kira sedekad lalu.

Sekalipun jumlah calon wanita bagi kerusi Parliman lebih ramai kali ini berbanding PRU14 yang hanya merekodkan 72 orang, kumpulan pejuang hak wanita, aktivis serta pemerhati politik kecewa kerana bilangannya tidak sampai 20 peratus.

Gabungan politik yang mencalonkan paling ramai wanita ialah Pakatan Harapan dengan 40 orang atau 18 peratus, diikuti Barisan Nasional (BN) 22 orang atau 11 peratus dan Perikatan Nasional dengan 16 wanita atau 9.3 peratus. Keseluruhannya, calon wanita bertanding di 103 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

"Pilihan raya umum kali ini tidak membawa perubahan yang kami harapkan untuk wanita," kata Dr Zaireeni Azmi, pensyarah kanan di Unit Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia.

Keadaan ini amat mengecewakan kerana pemimpin parti-parti utama berjanji pada 2 Okt lalu untuk meletakkan calon wanita di 30 peratus daripada kerusi yang ditandingi.


IMEJ

Sasaran 30 peratus itu merujuk kepada peringkat di mana terdapat wakil subkumpulan yang mencukupi, iaitu mencapai jumlah yang diperlukan untuk subkumpulan tersebut menonjol dan mempunyai pengaruh.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh memberitahu Bernama jumlah pemimpin politik wanita yang terlalu kecil itu tidak memberikan imej yang elok kepada Malaysia.

"Kita antara (yang mempunyai pemimpin politik wanita) paling sedikit di Asia Tenggara dan ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak sepatutnya berada di kedudukan ini kerana kita bukan negara mundur, kita adalah negara membangun dan sedang ke arah negara maju," katanya.

Malaysia berada di tangga 103 daripada 146 negara dalam Laporan Forum Ekonomi Dunia 2022 dan merupakan antara negara yang mempunyai kadar penyertaan wanita paling rendah di ASEAN selain Brunei dan Myanmar.

Berdasarkan statistik 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pemerkasaan politik wanita Malaysia hanyalah 10 peratus.

Namun pada masa sama, kaum hawa mengatasi lelaki dari segi pencapaian akademik iaitu 105 peratus, hampir mencapai kesetaraan gender dari segi kesihatan dan survival iaitu 93 peratus, serta kadar penyertaan dan peluang ekonomi yang lebih rendah pada 73 peratus.

Menurut pakar, amat penting bagi wanita menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan politik, bukan hanya kerana golongan ini mewakili kira-kira 50 peratus pengundi dan populasi Malaysia, tetapi faedah dari segi ekonomi dan masyarakat sekiranya negara mempunyai jumlah pembuat keputusan wanita yang mencukupi.

Malah, kaji selidik yang dijalankan oleh firma perundingan antarabangsa McKinsey juga mendapati kerajaan yang mempunyai lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dapat mengurangkan penyelewengan.

"Apabila ada kepelbagaian dalam kalangan penggubal dasar - kaum lelaki dan wanita - sudah tentu akan wujud perspektif berbeza. Malah dalam perniagaan sekalipun, mereka mengakui bahawa syarikat yang terangkum didapati berprestasi lebih baik," kata Dr Lai Suat Yan, pensyarah kanan daripada Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya.

Tambah beliau, wanita juga mampu mengetengahkan dan memperjuangkan pelbagai isu seperti pendidikan, penjagaan anak, warga emas serta keganasan berasaskan gender, bagi menambah baik masyarakat dan membantu rakyat.

Namun di sebalik laba yang bakal diraih, kemajuan usaha bagi menembusi halangan yang tidak kelihatan itu amat perlahan, disebabkan oleh budaya patriarki dan juga rasa takut.


POLITIK

Di Malaysia, laluan biasa dalam kerjaya politik ialah melalui parti politik. Umumnya kerana modal besar diperlukan untuk bertanding dalam pilihan raya. Parti sediakan dana, kemudahan serta sokongan bagi membantu calon - yang dipilih jika dia bertuah dapat menarik perhatian pemimpin setelah bertungkus-lumus untuk parti - memenangi pilihan raya.

Persaingan adalah sengit dan tidak semua orang akan berjaya. Dicampur pula budaya patriarki - majoriti pemimpin parti adalah lelaki - menyukarkan lagi wanita untuk sampai di puncak walaupun mereka telah bekerja keras dalam parti selama bertahun-tahun.

Sharifah Syahirah yang juga Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita, berkata pemimpin politik cenderung memilih dan mengiktiraf seseorang berdasarkan standard mereka sendiri serta keperibadian, dan jika kebanyakan pemimpin adalah lelaki, maka mereka juga berkecenderungan melihat kaum sejenis sebagai pemimpin.

"Atas sebab itulah, maka apa yang dipanggil merit dan standard kepimpinan mereka lebih bersifat maskulin. Ada istilah untuk merujuk keadaan ini, kita panggi 'homosociality', yang mana pemimpin menganggap seseorang itu layak apabila dia melihat ada persamaan keperibadian dengan dirinya," kata beliau.

Ini menyebabkan kebanyakan wanita dipinggirkan daripada kumpulan yang rapat dengan kepimpinan parti, sekali gus menghalang mereka daripada mempunyai peluang yang sama.

Menurut Zaireeni pula, halangan besar yang sukar diatasi bagi memperkukuh kedudukan dalam parti ialah menembusi mentaliti "old boys club" (dominasi lelaki).

"Semua parti politik ini yang diketuai lelaki, mereka berebut kuasa, jadi mereka pastinya mahu meletakkan orang-orang mereka di jawatan-jawatan tertentu, di Parlimen khususnya, kerana mereka mahu mentadbir negara. Dalam hal ini, pastinya wanita atau sebilangan besar wanita, tidak akan dipilih menjadi calon," katanya.

Tambah beliau, kepercayaan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin yang bagus serta tidak boleh memenangi pilihan raya turut menyumbang kepada keputusan pemimpin parti.

Ketika mempertahankan keputusan BN meletakkan hanya 22 orang wanita sekalipun janjinya lain, Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook beliau pada 4 Nov, berkata ramai penyandang enggan menyerahkan kerusi masing-masing kepada wanita. Beliau juga membayangkan keputusan untuk tidak mencalonkan lebih ramai wanita sebagai "keputusan taktikal" bagi memenangi PRU.

Berdasarkan tinjauan oleh Merdeka Centre setakat 28 Okt, rata-rata pengundi memilih faktor "calon" dalam menentukan siapa yang akan diundi. Tinjauan itu bagaimanapun tidak menyelami sama ada gender akan mempengaruhi pilihan pengundi. Kesetiaan kepada parti menjadi faktor kedua.


PERUBAHAN

Di sebalik kekecewaan mereka, kalangan pakar mengakui situasi bertambah baik pada setiap PRU. Trend dewasa ini memberikan harapan kepada mereka bahawa mempunyai lebih ramai pemimpin wanita di negara ini akan menjadi satu kelaziman tidak lama lagi.

PRU12 pada 2008 menyaksikan wanita mewakili 8.8 peratus daripada keseluruhan calon, sementara wakil wanita pada PRU13 bertambah sedikit kepada 8.98 peratus. Pada PRU14, jumlah calon wanita ialah 10.48 peratus dan PRU15 merekodkan 13.4 peratus.

Sharifah Syahirah berkata beliau mendapati wanita juga semakin lantang dalam menyuarakan hasrat dilantik sebagai pemimpin parti atas kekuatan mereka.

"Dulu mereka cuma akur dengan keputusan pemimpin. Mereka sekadar cakap 'Ok. Walaupun tidak memadai, kami akan sentiasa setia kepada parti.' Namun pada PRU15 ini, kita dapat lihat beberapa pemimpin wanita bersuara dalam nada mengkritik. Malah, ada yang mempersoal keputusan pemimpin parti mereka," ujarnya.

Lai bersetuju namun berkata wanita dan sekutu mereka tidak boleh sekadar menunggu dan mengharapkan ada kemajuan dalam usaha mereka tanpa membuat sebarang desakan.

Saran beliau, sebaiknya adakan pemilihan calon secara langsung tanpa libatkan kepimpinan parti.

Melalui cara ini, wanita dan ahli yang lain boleh bertanding untuk menjadi calon di kawasan pilihan raya tertentu tanpa menunggu pemimpin parti mengiktiraf mereka. Sebaliknya, ahli biasa berpeluang memilih siapa yang mereka anggap terbaik untuk mewakili sesebuah kawasan pilihan raya.

"Kita sudah tahu amalan sedia ada tidak berhasil. Jadi, semestinya kita perlu mencuba perkara dan idea baharu," tegasnya.

Kalangan pakar bersetuju perubahan seharusnya berlaku dari atas ke bawah. Satu caranya ialah parti dan kerajaan menetapkan kuota, iaitu memperuntukkan 30 peratus daripada calon Parlimen atau kerusi menteri kepada wanita.

Penganalisis pilihan raya Dr Manimaran Govindasamy memberitahu Bernama idea itu antara syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya 2018 kepada kerajaan.

"Kami juga mencadangkan 30 peratus kerusi diperuntukkan kepada wanita. Setiap parti politik mesti mempertandingkan 30 peratus calon wanita," katanya, menambah bagaimanapun tidak ada maklum balas daripada kerajaan berhubung saranan itu.

Penyertaan wanita dalam proses politik merupakan sesuatu yang harus diambil berat oleh parti dan kerajaan. Ini kerana jumlah pengundi wanita yang keluar mengundi semakin merosot berbanding lelaki. Menurut penganalisis politik Bridget Welsh, jumlah pemilih wanita merosot daripada sembilan peratus lebih rendah berbanding lelaki pada PRU13 kepada 11 peratus pada PRU14.

Justeru, kalangan pakar berkata parti politik serta badan bukan kerajaan harus melibatkan orang ramai, menggalakkan wanita mengambil bahagian dalam proses politik serta memupuk pemimpin masa depan.

"Semakin ramai wanita yang berkata 'saya percaya saya boleh menang, saya yakin saya boleh menjadi pemimpin yang bagus. Cuma saya tidak diberikan peluang,'" kata Lai.

-- BERNAMA