JERLUN: Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keseluruhan 15 kerusi Parlimen yang ada di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz, menyatakan terdapat beberapa Parlimen diyakini mampu menyumbang lebih dari satu kerusi DUN sekali gus mencerahkan peluang UMNO/BN memperoleh majoriti mudah untuk merampas semula pentadbiran kerajaan negeri Jelapang Padi itu.

"Barisan Nasional di Kedah, nombor satu sekali sasaran kita, kita mahu sekurang-kurangnya satu Parlimen memberikan (kita kemenangan di) satu DUN, kita ada 15 Parlimen maka kita akan capai 15 kerusi DUN, kalau satu kawasan Parlimen itu tak mampu nak menghadiahkan kepada BN satu kerusi DUN maka sudah tentu nampak macam (wujud) masalah kawasan tersebut.

"Dalam masa yang sama, kita juga mengharapkan beberapa lagi kawasan-kawasan Parlimen yang boleh memberi lebih dari satu kerusi Dewan Undangan Negeri (untuk BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas  merasmikan Program Kayuhan Basikal Semarak Merdeka Peringkat Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Ayer Hitam, Jerlun pada Selasa.

Selain itu, Othman turut memaklumkan bahawa,  sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, BN juga mampu menang di kerusi Parlimen Jerlun serta DUN Ayer Hitam dan Kota Siputeh yang mana parti itu tewas di ketiga-tiga kerusi berkenaan pada PRU14 yang lalu.

"Di Parlimen Jerlun sekarang mempunyai 68,053 orang pengundi, berdasarkan data setakat 30 Jun 2022, tetapi angka itu makin bertambah dan ada juga yang meninggal dan sebagainya tetapi kita ambil purata 68,000.

"Sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru daripada kajian-kajian yang kita buat, kita mempunyai harapan yang agak cerah untuk menang, ketiga kerusi ini," katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO/BN hanya menang di tiga kerusi DUN iaitu Sungai Tiang, Bandar Baharu dan Guar Cempedak selain dua kerusi Parlimen iaitu Baling serta Padang Terap dalam PRU yang lalu.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan UMNO Kedah mempunyai keyakinan tinggi untuk menang dan merampas semula negeri Kedah dalam PRU15 nanti.

Cita-cita itu boleh dicapai berdasarkan laporan yang diterima membabitkan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN ketika ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melaungkan keyakinan bahawa Pas mampu memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dalam PRU15.

Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan asas bahawa Pas mendapat sokongan padu dari rakyat negeri Kedah dan berada pada keadaan yang kuat ketika ini.