SUNGAI BULOH: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional untuk P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin memberi jaminan kepada penduduk di kawasan itu bahawa beliau bukan seorang ‘yes man’, atau hanya menjadi ‘pak turut’ dalam UMNO.

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau lebih tegas untuk mengkritik sesuatu perkara secara terbuka, biarpun ia mungkin tidak disenangi kepimpinan UMNO.

Malah katanya, atas sebab sikapnya yang tegas, beliau seolah-olah dimarahi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hampir setiap hari.

“Dalam masyarakat Cina ada pepatah - tak kira kucing itu hitam atau putih, tak kira biru (BN) atau merah (Harapan), janji kucing itu boleh tangkap tikus.  Biar kucing (yang dipilih) itu boleh tangkap tikus (selesaikan isu). Saya akan lawan.

“Saya dalam parti saya UMNO saya bukan 'yes man'. Tengok presiden saya marah saya tiap tiap hari. Sebab apa? Sebab saya ni jenis kalau tak betul saya cakap tak betul, tak bagus saya cakap tak bagus. 

"Saya ada prinsip, saya bukan 'yes man'. Saya mahu jadi 'Sungai Buloh Man'!” katanya sewaktu berucap di Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini malam ini.

Berucap di hadapan kira-kira 200 penduduk Cina dan India di dewan itu, Khairy berkata, beliau menyedari kawasan itu merupakan kawasan yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Tak salah saya bercita-cita tinggi mahu jadi perdana menteri - Khairy

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Selain itu, Khairy berkata, beliau turut menyedari ramai penduduk akan mempersoal sama ada seorang Ahli Parlimen mampu untuk menyelesaikan masalah, terutamanya yang berkaitan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri.

Namun, Khairy mengingatkan penduduk Sungai Buloh bahawa beliau mempunyai hampir lima juta pengikut di kesemua laman media sosialnya, dan setiap isu yang dibangkitkan pasti akan menarik perhatian umum.

“Ada orang kata Ahli Parlimen tak boleh buat apa-apa, ini kuasa majlis, ni kuasa kerajaan negeri. Tapi Ahli Parlimen boleh bising, boleh cakap. Kalau pilih wakil rakyat, pilih yang tak ada suara, tak bagus. Saya ada Facebook, Tik Tok, Instagram, dan Twitter, kalau campur-campur semua lima juta orang.

“Bukan saya dabik dada, saya ada lima juta orang pengikut. Kalau penduduk Kampung Baru Sungai Buloh tak puas hati, saya letak situ (kongsi di laman media sosial) biar lima juta orang baca, dan majlis takut dan buat sesuatu,” katanya lagi.

Khairy berkata, beliau sekali lagi merayu kepada penduduk Sungai Buloh, khususnya masyarakat Cina dan India di Kampung Baru Sungai Buloh, untuk memberi peluang kepadanya pada 19 November ini.