MERSING: Penyandang kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Sebaliknya, Abdul Latiff memberitahu telah mencadangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib untuk bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

“Tak. Saya tak ‘u-turn’, saya dah bincang dengan Presiden saya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dari hati ke hati dia tahu apa yang saya nak, tunggulah dia umumkan.

“Dia (Alwiyah) antara nama yang dicadangkan, saya cadangkan dan kita ada ramai juga pemimpin di Mersing,” katanya ketika Program Teraju di PUB Penternakan Ikan Kelah di Kampung Tanjung Genting pada Khamis.


Abdul Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan beliau akan muncul di saat akhir untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Abdul Latiff juga mengakui kawasan itu bakal menyaksikan pertembungan yang sengit sekiranya wujud calon muka baharu parti lain.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Abdul Latiff bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di Parlimen itu pada PRU15.

Pada PRU14 yang lalu, Abdul Latiff memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai Bersatu.