BATU SAPI: Berbeza dengan kebanyakan pihak yang mahu mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Khairul Firdaus Akbar Khan pula sebaliknya.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu beriltizam menyelesaikan permasalahan di Parlimen Batu Sapi terlebih dahulu berbanding memfokuskan isu di peringkat negeri, ataupun nasional.

Ini kerana katanya, kawasan Batu Sapi masih lagi daif dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan dapat menikmati kemudahan asas.

"Saya lebih suka fokus kepada isu berkaitan Batu Sapi sahaja. Tak perlu saya bincang isu-isu negeri atau nasional. Yang paling penting kita perlu selesaikan dulu setiap permasalahan yang ada di Parlimen Batu Sapi.

"Hampir 90 peratus kampung-kampung di Parlimen Batu Sapi belum digazetkan atau diwartakan, itu kita fokus. Kedua, masalah air dan elektrik yang masih menjadi topik yang paling penting yang perlu diselesaikan.

"Itu sebab saya tidak berminat bercakap mengenai hal negeri atau pusat, kita perlu selesaikan isu yang berkenaan infrastruktur asasnya dulu.," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

Graduan dari Universiti Deakin, Melbourne, Australia itu menambah, usaha untuk mengazetkan kawasan kampung di Parlimen berkenaan boleh direalisasikan dengan kerjasama antara wakil rakyat dan kepimpinan negeri.

"Paling penting sekarang ada keazaman politik untuk selesaikan masalah yang berbangkit ini.

"InsyaAllah kita akan cuba sebaik mungkin dan kita berikan tekanan sekuat mungkin kepada kerajan negeri untuk selesaikan permasalahn ini," ujarnya lagi.

.

Walaupun beliau muka baharu yang ditampilkan GRS di kerusi Parlimen Batu Sapi, tetapi Khairul Firdaus percaya penduduk di kawasan berkenaan boleh menilai trek rekodnya, yang telah 18 tahun berkhidmat di kawasan berkenaan.

GRS juga tegas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu, merupakan sebuah gabungan parti yang mementingkan perpaduan semua rakyat tanpa mengira latar belakang

"GRS ini pastinya boleh pergi jauh ke hadapan lagi jika diberikan peluang supaya setiap perancangan itu dapat dilaksanakan dan direalisasikan dan paling penting banyak perkara yang membawa kebaikan mahu dilakukan serta-merta.

"Tiga perkara yang saya lihat begitu signifikan telah dilakukan oleh kerajaan GRS dan Barisan Nasional (BN) ialah menghadkan tempoh Ketua Menteri selama dua penggal sahaja.

"Ramai yang terlepas pandang bab ini, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan kuasa akan berlaku kalau kepimpinan itu dipegang dengan tempoh yang lama," katanya.

Dari aspek pemerkasaan belia pula, Khairul Firdaus berkata agenda yang akan dibawa meliputi peluang pekerjaan, kemudahan, pembangunan serta kemahiran.

Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI

Selain Khairul Firdaus, turut bersaing merebut kerusi berkenaan ialah calon daripada Parti Warisan (Warisan), Alias Sani; Liau Fui Fui (Pakatan Harapan); Boni Yusuf Juanico Abdullah (Parti Pejuang Tanah Air); serta calon Bebas, Othman Ahmad.