ALOR SETAR: Pas mengalu-alukan penyertaan calon dari parti lain yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) termasuk bebas untuk menyertai parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bagi mengukuhkan lagi gabungan PN sekiranya berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, setiap calon terbabit memiliki kelebihan masing-masing dan Pas tidak menolak sekiranya pemimpin berkenaan berminat untuk menyertai parti itu atau mana-mana parti di bawah gagasan PN.

“Pemimpin seperti itu sepatutnya dialu-alukan sertai kita (PN) untuk kukuhkan gagasan di peringkat pusat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Kedah Cashless Adoption Campaign antara kerajaan negeri dengan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pada Isnin, UMNO memecat keahlian empat individu dalam parti itu selepas didapati telah mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk PRU15.

Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang bertanding sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Arau dan Maran manakala Datuk Zahidi Zainul Abidin bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Padang Besar selain Datuk Azhar Ahmad di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, sehingga kini Shahidan mahupun tiga lagi calon terbabit belum mengesahkan untuk menyertai mana-mana parti politik selepas dipecat UMNO.

“Setahu saya, Shahidan belum menentukan parti mana yang akan disertai beliau selepas PRU15 berakhir. Bolehlah sertai Pas, kita tiada halangan. Namun isu berkaitan keahlian parti atau sertai Pas perlu dirujuk kepada Pas Pusat,” jelasnya.

Beliau berkata, kesemua pemimpin berkenaan tidak dihalang untuk menyertai Pas asalkan memenuhi syarat keahlian parti. -Sinar Harian