KUALA LUMPUR: Keupayaan calon untuk melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji harus menjadi pemberat kepada pertimbangan pengundi pada 19 November nanti.

Kata calon Barisan Nasional (BN) P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tidak kira apa pun partinya, yang penting calon pilihan itu mesti mampu menyelesaikan isu dan permasalahan yang membebani rakyat.

Menurut beliau, kehadirannya ke Sungai Buloh sedikit sebanyak mewujudkan dilema dalam kalangan penduduk kawasan itu yang selama ini berkecenderungan kuat kepada Pakatan Harapan (PH), untuk memilih sama ada parti atau calon.

“Saya maklumkan kepada mereka, tak kisahlah kucing itu hitam atau putih, janji dia boleh tangkap tikus.

“Saya terbukti sebagai seorang menteri yang bekerja kuat sewaktu pandemik.

"Malah sebelum itu lagi saya cuba untuk menyampaikan resolusi dan hasil kerja saya untuk rakyat Malaysia selama ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Sepanjang berada dalam kabinet kerajaan bermula 2013, Khairy menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan, kemudian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan terkini Menteri Kesihatan.

Selain berpengalaman mengemudi tiga kementerian, beliau turut menegaskan, dirinya seorang pemimpin yang boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk mereka dari pihak parti lawan.

Ia terlihat ketika waktu pandemik COVID-19 tempoh hari di mana beliau bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Selangor untuk mempercepatkan usaha vaksinasi di negeri tersebut.

“Saya buat panggilan kepada Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Amirudin Shari, ajak beliau bekerja bersama.

"Kemudian kita lantik Ong Kian Ming sebagai koordinator. Mereka ahli pembangkang tetapi juga kawan saya.

“Saya beritahu kepada mereka, dalam keadaan tertentu bila kita nak selesaikan masalah rakyat terutamanya waktu krisis atau masalah asas, kita perlu ketepikan politik dan kita perlu laksanakannya,” tambahnya.

PRU15 | “Tak kisahlah kucing itu hitam atau putih, janji boleh tangkap tikus” - KJ