KOTA BHARU: Calon Pas Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyasarkan lebih 80 peratus pengundi di Kota Bharu akan keluar mengundi.

Sasaran itu berdasarkan cuaca yang baik, kepulangan perantauan dengan jumlah yang tinggi, dan mood pengundi yang baik bagi proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

"Melihat kepada cuaca yang baik walaupun hujan renyai-renyai, peratusan keluar mengundi hari ini dilihat sangat baik," katanya ketikda ditemui melawat kawasan di pusat pembuangan undi Sekolah Menengah Pintu Geng, di sini, hari ini.

Takiyuddin juga yakin pilihan raya kali ini memperlihatkan 'mood' rakyat sangat baik kerana ramai yang pulang ke kampung untuk mengundi.

Katanya, berdasarkan situasi ini, beliau percaya pengundian rakyat dalam PRU15 berjalan lancar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu ditemani isterinya untuk membuang undi di Maktab Sultan Ismail (SIC), sekitar jam 8 pagi tadi.

Untuk rekod, Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit apabila enam parti politik bersaing merebut kerusi tersebut.

Lima calon mencabar Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertahankan kerusi terbabit.

Antara calon bertanding, Naib Ketua UMNO Kota Bharu Datuk Rosmadi Ismail; Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim; Prof. Datuk Dr Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).