PETALING JAYA : Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),  Khairy Jamaluddin mengakui memilih Sungai Buloh kerana mahu mencabar diri bertanding di kawasan bandar, tempat yang bukan pilihan pimpinan parti.

Tegasnya, walaupun calon 'underdog', namun, beliau yakin boleh menawan hati pengundi Sungai Buloh jika BN terus bersatu dan bekerja kuat pada pilihan raya kali ini.

"Ini kali, kita mesti menang. Tiga kali berturut-turut kita kalah (di Sungai Buloh), kali ini saya datang dengan harapan, walaupun 'underdog', walaupun kawasan kita kalah lebih 20,000 majoriti, tetapi saya percaya kalau kita bersatu, kalau kita kerja kuat, kalau kita meyakinkan pengundi kita dapat tawan Sungai Buloh pada 19 November.

"Saya juga datang sebab ini kwasan bandar. Saya tidak mahu macam Datuk Megat sebutkan tadi, kawasan-kawasan bandar ini tidak menjadi kawasan tumpuan bagi pimpinan. Sungai Buloh? Forget about it.  Dulu, susah nak menang, confirm kalah. Jadi, saya nak UMNO dan BN berani dan mampu untuk kita menawarkan khidmat di bandar," katanya semasa berucap di Majlis Pengumuman Calon BN Sungai Buloh di perkarangan pejabat UMNO Sungai Buloh , Kota Damansara di sini pada malam Rabu.

Kata Khairy, jika semua pemimpin UMNO dan BN pergi ke kawasan luar bandar iaitu kerusi yang selamat, tiada sesiapa yang datang dan tampil di kawasan bandar seperti Sungai Buloh. 

"Selamanyalah kita menjadi parti luar bandar, parti kampung. Tak salah, sebab kampung penting. But what about in the city? 77 peratus urbanisasi dari luar bandar ke bandar di Malaysia," ujarnya.

Malah, BN dan UMNO tidak sepatutnya sudah awal-awal mengaku kalah sebelum berani meredah kerusi bandar yang bukan kerusi kegemaran.

"Di Rembau, dulu saya bertanding 60,000 sahaja, datang ke Sungai Buloh, 160,000 sebab majoriti orang duduk di bandar.

"Takkan kita nak mengaku kalah bila tengok kerusi bandar? Saya datang ke Sungai Buloh ini sebab saya nak menang di kawasan bandar. Ingat, kita akan buat yang terbaik," kata beliau.

Selain itu katanya, beliau memilih kerusi Sungai Buloh kerana ia merupakan kawasan betul-betul melambangkan sebuah negara Malaysia.

"Saya pemimpin rakyat Malaysia tanpa kira kaum, dan latar belakang.

"Siapa pun ada, saya akan terus berjuang untuk anda sebagai pemimpin Malaysia," tambahnya.