KUALA LUMPUR: Manifesto yang ditawarkan kepada rakyat ketika musim berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dimasukkan dalam Perundangan Perlembagaan Negara.

Menurut Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub, ini bagi memastikan manifesto yang ditawarkan untuk meraih sokongan rakyat tidak hanya tinggal sebagai janji kosong semata-mata.

“Mana-mana gabungan yang berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya selepas PRU15 perlu mempunyai kehendak politik untuk meminda Perlembagaan memasukkan satu perkara iaitu mana-mana parti atau gabungan politik yang berjaya mentadbir kerajaan persekutuan perlu menunaikan manifesto yang mereka janjikan semasa berkempen.

“Ini boleh mengikat parti dan gabungan politik untuk memastikan bahawa mereka cakap serupa bikin, mereka mampu menunaikan apa yang dijanjikan sebelum PRU, mereka merealisasikan apa yang ditawarkan kepada rakyat sebenar-benarnya.

“Jangan jadikan kempen PRU sebagai platform untuk kita meraih sokongan tetapi sokongan itu menyebabkan rakyat terpedaya sehingga lima tahun merana,” katanya dalam tembual dalam program Malaysia Memilih, pada Rabu.

Tawfik berkata, sebagai pengundi, rakyat mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang mentadbir negara berdasarkan kehendak rakyat.

Jelasnya lagi, mesej perlu disampaikan kepada setiap gabungan politik bahawa mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar kepada rakyat serta tidak terhad kepada hanya memegang jawatan besar dalam kerajaan.

“Kita sebagai pengundi mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang mentadbir negara berdasarkan kehendak rakyat itu sendiri dan bukan hanya untuk duduk di jawatan tertentu yang memegang tampuk kuasa tetapi tidak menjalankan tugas tanggungjawab mereka.

“Baik jangan jadi kerajaan, baik jangan jadi pemerintah kerana tugas sebagai kerajaan itu besar dan luas. Inilah kita perlu berikan mesej yang jelas kepada setiap gabungan politik bahawa mereka ada tugas yang besar kepada rakyat,” ujarnya.