GEDONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap dengan pendirian parti itu untuk kekal bertanding di semua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dinyatakan Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mengulas isu pertembungan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan GPS di salah satu kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak.

“Saya sudah maklumkan sebelum ini, kita (GPS) akan tetap bertanding di semua 31 kerusi Parlimen,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Hotel Raia pada Khamis.

Terdahulu Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin memberi bayangan untuk bertanding mengekalkan kemenangannya di kawasan berkenaan pada pilihan raya yang akan datang.

Tegasnya, selaku penyandang, beliau memikul amanah bagi merealisasikan aspirasi rakyat di Puncak Borneo yang terdiri daripada komposisi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Serembu dan Tarat.

PRU14 pada tahun 2018 menyaksikan kekalahan pertama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam kerusi parlimen sejak tahun 1974 selepas calon Barisan Nasional (BN) Jeannoth Sinnel tumpas kepada Willie calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu dengan majoriti 4,005 undi.

Untuk rekod, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai 19 perwakilan daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan 13 kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), dua kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat  Bersatu Sarawak (SUPP).