BAGAN SERAI: Meningkatkan hasil padi daripada 3 metrik tan kepada 6 metrik tan per hektar menjadi misi yang akan diteruskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Pesuruhjaya Pas Perak itu berkata, pelaksanaan usaha tersebut sekiranya dapat direalisasikan akan memberi peningkatan pendapatan sekali ganda kepada penduduk tempatan yang hampir 70 peratus bekerja sebagai pesawah.

"Walaupun kerajaan telah memberikan peruntukan dan subsidi, purata hasil sawah padi di kawasan ini masih di tahap 3 metrik tan per hektar sedangkan di negeri lain seperti Kedah dan Selangor, kadarnya mencapai 7 ke 8 metrik tan.

"Apabila dikaji, banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini dan hanya dapat diatasi menerusi perancangan pembangunan pertanian yang sistematik dan teratur," katanya kepada Sinar Harian.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, sekiranya terus diberikan mandat, tumpuan utamanya adalah untuk menyelesaikan isu pengairan yang membelenggu tanaman sawah padi sejak sekian lama.

Katanya, kawasan sawah di situ terlalu bergantung kepada bekalan air kolam Bukit Merah mengakibatkan bekalan air tidak mencukupi dan tidak sampai ke sesetengah kawasan menyebabkan gangguan kepada aktiviti tanaman.

"Bekalan air di tasik ini bukan hanya digunakan untuk pertanian, tetapi air yang sama diguna bagi keperluan domestik, perindustrian dan perusahaan ikan kelisa.

"Jadi perlu perancangan meningkatkan sistem pengairan di sini seperti kerja-kerja mendalamkan tasik atau pemindahan air dari Sungai Perak supaya ada kemampuan untuk pengairan secara keseluruhan kawasan," katanya.

Selain itu beliau berkata, masalah sistem perparitan yang lama juga perlu diberi perhatian dan penyelenggaraan boleh dilakukan bagi membantu peningkatan hasil padi.

Katanya, fokus terhadap perataan serta perkaporan tanah secara menyeluruh akan dilaksanakan bagi meningkatkan kesuburan tanah di situ.

"Usaha-usaha ini sekiranya dapat dilaksanakan akan membantu melonjakkan hasil pertanian sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani.

"Secara tidak langsung menjadikan DUN Gunung Semanggol antara penyumbang kepada bekalan makanan utama negara," katanya.

Diberi peluang bertanding sekali lagi mewakili Perikatan Nasional (PN), Razman bakal berdepan saingan tiga penjuru bersama Nazirul Jamaluddin (BN) dan Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (Pakatan Harapan). -Sinar Harian