PENAMPANG: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mendekati pengundi 'atas pagar' memandangkan dijangkakan separuh daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terdiri daripada golongan berkenaan, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sehubungan itu, jentera UMNO dan BN perlu lebih agresif dalam usaha mendekati mereka menerusi pelbagai kaedah terutama media sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata mengikut perkiraan kasar, 1/4 daripada pengundi PRU15 dijangka menyokong BN manakala 1/4 lagi menyokong pembangkang, justeru pihak yang mampu menawan hati 2/4 atau separuh daripada pengundi atas pagar itu mempunyai kelebihan untuk menang PRU15.

"Pengundi kelabu (atas pagar) ini memerhatikan, membuat penilaian ingin tahu apa yang parti buat, mereka boleh pergi (menyokong) ke mana yang mereka inginkan sesuai untuk mereka, jadi kita BN perlu lebih agresif terutama melalui media sosial dan NGO.

"(Pendekatan melalui) NGO ini mereka (pembangkang) buat juga, pihak sana pun bukan tidak tahu... mereka tahu juga tetapi yang lebih penting siapa yang lebih agresif mendekati pengundi atas pagar itu mereka dapat kelebihan untuk menang (PRU15)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Konvensyen BN Sabah 2022 di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha BN Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Ditanya isu kos sara hidup yang dilihat mempengaruhi pengundi atas pagar, Ahmad berkata pimpinan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan pelbagai usaha mendepani isu itu dengan terbaharu menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

"Saya harap pasukan itu akan dapat hasil yang baik dengan dapat menurunkan harga barangan keperluan, juga kurangkan kadar inflasi dan kos sara hidup dialami rakyat. Perkara ini utama ketika ini, saya seru kerajaan atasi isu ini.

"Kalau lihat tulisan menerusi media sosial mereka atas pagar itu amat kecewa tentang perkara ini, orang kita menyatakan subsidi itu subsidi ini lebih RM70 bilion subsidi tetapi apa yang mereka inginkan bila pergi ke pasar harga turun, cari minyak satu kilogram (peket) ada, itu penting," katanya.

Ketika berucap pada konvensyen itu, Ahmad berkongsikan bahawa pengundi PRU15 dijangkakan berjumlah 21 hingga 22 juta, dengan daripada jumlah itu sebanyak 5.8 juta adalah pengundi baharu serta 1.2 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Jafry berkata konvensyen itu merupakan satu peringatan kepada jentera BN di seluruh negeri ini bagi memperkemas persediaan menghadapi PRU15 dan menarik pengundi terutama pengundi atas pagar.

"BN Sabah memberi fokus untuk memastikan jentera kita (bersedia) dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA