SHAH ALAM: UMNO mengesahkan keahlian empat individu dalam parti itu digugurkan selepas didapati telah mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat ahli berkenaan ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar; Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

"Pengguguran keahlian mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

"Ia jelas menyebut seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan DUN akan gugur keahlian dengan sendirinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Justeru, beliau memaklumkan dengan pengguguran keahlian itu, jawatan mereka di peringkat UMNO bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkenaan.

Menurutnya, UMNO juga ingin menegaskan beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon itu turut dikenakan tindakan.

"Mereka dilihat mengiringi keempat calon itu semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan, kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil," ujarnya.

Pada Sabtu, media melaporkan tindakan Ketua Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib bertanding di Parlimen Arau dan Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Seorang lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Padang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pemimpin parti yang bertindak sedemikian akan dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.