PONTIAN: UMNO sebenarnya telah bersedia untuk bergerak tanpa Pas pada pilihan raya akan datang, dengan melihat kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN (Melaka) dan PRN Johor sebelum ini, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Saya bukan hendak mendabik dada, tapi saya tidak mahu jentera kita ada rasa macam lemah semangat apabila tiada lagi Muafakat Nasional (MN) bersama Pas pada pilihan raya nanti. Kita kena sentiasa merujuk dengan apa yang berlaku, kita menang 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka dan menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor tanpa apa kita panggil sebagai gabungan MN," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Bangunan UMNO Pontian di sini hari ini, katanya beliau berharap penyokong BN dapat menjadikan PRN Melaka dan Johor sebagai penanda aras kemenangan dua pertiga yang boleh diulangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini tanpa Pas di sisi.

Justeru Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian itu menasihati jentera BN dan UMNO supaya tidak berdukacita dan meneruskan segala gerak kerja yang telah dilakukan selama ini.

"Jadi untuk jentera, walaupun tiada MN dalam bentuk bersama Pas, selalulah ingat bahawa kita boleh melakukan sebagaimana yang kita lakukan pada PRN Melaka dan PRN Johor," katanya.

Merujuk kepada penyertaan beliau pada PRU15 ini, Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian selama tiga penggal berkata beliau berharap agar dapat kekal diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Pontian nanti, namun beliau tetap menyerahkan soal pencalonan sepenuhnya kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

"Saya harap dapat bertanding di Parlimen Pontian kerana saya orang tempatan dan telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dengan sepenuh jiwa. Jika tidak diberikan peluang (bertanding), saya tetap akan menyokong dengan penuh gigih sebagai ahli parti dan pimpinan utama di peringkat pusat. Sebagaimana saya sebut, jadi ahli politik ini penuh dengan risiko," kata

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Umum BN Johor Datuk Hasni Mohammad pula ketika ditemui di majlis sama berkata pemimpin UMNO sering kali mengambil sikap "forgive and forget", walaupun beliau melihat macam-macam yang dikatakan Pas mengenai UMNO.

"Saya juga menggunakan pendekatan yang sama, lebih kepada soal penyatuan ummah, bukan Pas sahaja yang gunakan. Orang lain juga berhasrat untuk memastikan penyatuan orang Melayu, juga penting dalam kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.

-- BERNAMA