TUARAN: UMNO bahagian Tuaran perlu mengambil tindakan ke atas calon Bebas Noortaip Suhaili yang bertanding di kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Malah Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau telah berhubung dengan Ketua UMNO bahagian itu dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Datuk Jasnih Daya berhubung perkara berkenaan.

"Kita mesti mengambil tindakan tegas kerana kita tidak mahu rakyat keliru," katanya ketika majlis pemimpin bersama rakyat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran pada Sabtu.

Sama seperti di kawasan-kawasan lain, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan perlu diambil ke atas mana-mana ahli parti ingkar dengan keputusan parti mahupun gabungan.

Pada majlis itu, Hajiji menerima permohonan 1,500 ahli Warisan diketuai Abdullah Sani yang merupakan bekas calon Warisan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada pilihan raya 2018.

Sebelum ini, beberapa kerusi Parlimen di Sabah kecoh apabila calon GRS dan Barisan Nasional (BN) bertembung sesama sendiri.

Ia meliputi kerusi Parlimen Beluran yang menyaksikan pencalonan Datuk Seri Ronald Kiandee menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Ewon Ebin (Parlimen Ranau) atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah - komponen dalam BN.