Skip to main content

Politik

PRU16: Utamakan UMNO bukti Pas kejar kuasa semata-mata, tiada semangat setiakawan - AMK

Muhammad Iman Haziq berkata, situasi itu menunjukkan Pas tidak mempunyai semangat setiakawan sepertimana PH. - Gambar fail
Muhammad Iman Haziq berkata, situasi itu menunjukkan Pas tidak mempunyai semangat setiakawan sepertimana PH. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas menyingkirkan Bersatu daripada Perikatan Nasional (PN), dengan mementingkan Wawasan yang merupakan parti serpihan Bersatu, Pas kini menunjukkan sikap sebenar dengan lebih mengutamakan seteru lama, UMNO pula berbanding Wawasan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, situasi itu menunjukkan Pas tidak mempunyai semangat setiakawan sepertimana Pakatan Harapan (PH) kerana sanggup meminggirkan rakan gabungan yang ada semata-mata mahu melampiaskan nafsu untuk menduduki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU16).

"Pas pandai menggunakan slogan penyatuan ummah untuk PRU16, tetapi hakikat yang kita semua dapat lihat ialah mereka sanggup berkawan dengan seteru politik sejak berdekad-dekad selepas melihat potensi dan peluang yang wujud untuk meraih keuntungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebelum ini berkata, Pas akan mengutamakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbanding parti lain, termasuk Wawasan pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam rundingan pakatan politik.

Hashim berkata, mesyuarat Majlis Syura Pas yang dipengerusikannya baru-baru ini bersetuju bahawa parti itu boleh mengadakan rundingan dengan mana-mana parti, tetapi UMNO perlu diberi keutamaan.

Mengakui bahawa usaha mengeratkan hubungan Pas dengan UMNO bukanlah mudah, beliau berkata kedua-dua parti perlu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang untuk menyatukan kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Muhammad Iman berkata, rakyat harus menilai dengan bijak terutama selepas apa yang terjadi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan kerajaan negeri menjadi tidak stabil selepas BN dan Pas menang dan berjaya menumbangkan PH.

Must Watch Video

Advertisement