KUALA LUMPUR: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyatakan sokongan penuh kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh, sokongan berkenaan dibuat atas dasar semangat perpaduan demi melancarkan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri buat kebaikan rakyat.

Jelasnya, parti di peringkat negeri sedia untuk mengetepikan segala perbezaan demi menjayakan visi pembangunan Sarawak.

"Ini termasuk dalam mencapai Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030.

"Dalam semua perkara ini, kami, PSB telah membuat keputusan untuk bekerjasama secara rapat dengan PDP demi berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Kami bersyukur terhadap segala usaha Datuk Seri Tiong King Sing dalam memastikan perkara ini menjadi realiti," katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, pada Khamis.

Beliau turut mengumumkan kerjasama bersama Parti Demokratik Progresif (PDP) 

PDP mempunyai lima kerusi di Sarawak dan merupakan ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, 80 daripadanya kini menyatakan sokongan terhadap kerajaan GPS selepas PSB yang mempunyai tiga kerusi DUN.