Skip to main content

Politik

Rafizi 'hipokrit', tidak bangkit isu syarikat ketika jadi menteri - Aktivis politik

61739427472_TBRafizi.jpg
Rafizi (foto) didakwa menjejaskan imej syarikat tempatan serta memberi kesan kepada pekerja. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Faizan Mohd Nor menyifatkan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai seorang yang hipokrit kerana didakwa lantang membuat pelbagai pertuduhan negatif terhadap syarikat korporat ketika ini, sedangkan perkara tersebut tidak dibangkitkan semasa beliau masih berada dalam kerajaan.

Menurutnya, Rafizi yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2022 dan meletak jawatan pada Jun 2025, tidak pernah bersuara mengenai isu syarikat yang kini didakwanya bermasalah sepanjang tempoh hampir tiga tahun memegang jawatan itu.

Advertisement

Malah, dalam tempoh berkenaan, beberapa syarikat terbabit didakwa terus memperoleh kontrak baharu atau lanjutan kontrak untuk tempoh bertahun-tahun.

“Di mana beliau (Rafizi) ketika itu? Tempoh hampir tiga tahun sebagai menteri bukan singkat. Namun kini, beliau seolah-olah bercakap seperti tidak pernah berada dalam kerajaan atau menghadiri mesyuarat Kabinet,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan komited untuk memperkukuh dan mempermudah aktiviti perniagaan dalam negara, selain terus menyokong pelaburan langsung domestik.

Beliau berkata, Kabinet turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek kerajaan serta memudahkan kelulusan berkaitan aktiviti perniagaan, termasuk permohonan tenaga kerja ekspatriat berkemahiran tinggi, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik.

Mengulas lanjut, Faizan berkata kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu didakwa menjejaskan imej syarikat tempatan serta memberi kesan kepada pekerja.

Ujarnya lagi, tindakan berkenaan juga mencalarkan reputasi syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Hari ini orang boleh ‘Google’ sahaja, banyak syarikat Malaysia imej mereka teruk.

“Pemimpin seperti Rafizi ini perlu ditolak rakyat berdasarkan banyak kemusnahan yang telah beliau lakukan,” katanya.

Must Watch Video