Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli perlu membawa semua bukti rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk habuan wanita dan wang yang ada padanya terus ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada masa yang sama, biro politik juga akan meneliti dakwaan tersebut dan sekiranya ia melibatkan anggota parti, anggota tersebut akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti.

"Mesyuarat Biro Politik Keadilan pada malam ini telah membincangkan isu berkait perkara yang dibangkit Rafizi dalam satu mesej WhatsApp beberapa hari lalu.

"Biro politik telah membuat ketetapan bahawa Rafizi perlu membuat laporan terus kepada SPRM mengenai bukti-bukti yang ada didakwa padanya," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di sini pada Selasa malam.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan akan mengemukakan semua bukti rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk habuan wanita dan wang kepada Wan Azizah.

BACA: Rafizi jumpa Wan Azizah kemuka dokumen dakwaan salah laku rasuah

VIDEO: Dokumen salah laku rasuah kerajaan negeri Selangor

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dia akan membuat laporan kepada SPRM selepas membuat perbincangan dengan Wan Azizah.

Dalam pada itu kata Wan Azizah, isu jawatan Rafizi tidak dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Pada 20 Mei lalu, Rafizi mengaku menulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Selangor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang di­sebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Walau bagaimanapun, selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pembangkang di Selangor, sebaliknya mendakwa perbualannya merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.