MARANG: Pas bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang ditangguhkan seketika dan diadakan sehingga habis penggal kerajaan sedia ada.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia bagi membolehkan kerajaan melaksanakan tugas dalam tempoh yang mencukupi.

“Yang semasa ini kita bersedialah pilihan raya bila-bila masa, walau pun kita dah buat kenyataan tiga kerajaan negeri supaya habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, politik nii bersama dengan wabak yang belum lagi selesai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata Pas bagaimanapun sentiasa bersedia dan tetap menggerakkan jenteranya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita dah gerak semua jentera-jentera di seluruh negeri, seluruh negara. Kita gerak cawangan-cawangan kita dan tambah cawangan-cawangan, tambah ahli-ahli.

“Kita kaji melalui post mortem tiga pilihan raya negeri yang telah diadakan di Sabah, Melaka dan Johor,” katanya lagi.

Hadi berkata keputusan mengadakan pilihan raya umum akan dibuat oleh Kabinet dan di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Mac lalu, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga habis penggal, tahun depan.

Pendirian itu adalah muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.