Rakyat tolak parti politik berpecah dan menabur fitnah - Ketua Penerangan BN Kelantan

Bernama
Jun 19, 2016 23:49 MYT
MD ALWI: Rakyat mahu hidup dalam negara yang aman di bawah kerajaan dan parti politik yang tidak berpecah belah. - Foto BERNAMA
Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, pada Sabtu membuktikan rakyat memilih parti politik yang tidak berpecah belah dan tidak menabur fitnah.
Ketua Penerangan BN Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata kemenangan berkenaan memberi isyarat bahawa rakyat tidak menyukai pemimpin politik yang banyak menabur fitnah dan berpecah sesama sendiri.
"Rakyat sudah lali dengan suasana politk sedemikian, rakyat mahu politik yang berkerja kepada rakyat kerana parti politik sedemikian tidak boleh diguna pakai pada waktu sekarang oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kelengkapan Hari Raya di sini, pada Ahad.
BACA: Rangkuman PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
BACA: Kebersamaan parti komponen kunci kemenangan BN di Sungai Besar
BACA: PM ucap terima kasih atas kemenangan BN
Md Alwi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, berkata kemenangan itu juga menunjukkan rakyat menolak pungutan suara dan deklarasi rakyat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata rakyat mahu hidup dalam negara yang aman di bawah kerajaan dan parti politik yang tidak berpecah belah.
Pada Sabtu, BN menang dengan majoriti lebih besar di Kuala Kangsar apabila meraih majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi dalam Pilihan Raya Umum 2013 dan memperoleh majoriti 9,191 undi di Sungai Besar, berbanding majoriti 399 undi pada 2013.
Pada majlis itu, 50 orang penghuni Pusat Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kok Lanas menerima sumbangan berupa baucar bernilai RM250 setiap seorang bagi membeli kelengkapan hari raya.
#Barisan Nasional #berita politik #Ketua Penerangan BN Kelantan #Md Alwi Che Ahmad #politik #PRK Kuala Kangsar #PRK Sungai Besar #UMNO