Rasuah RM3.7 juta: Dakwa saya sekali di mahkamah jika ada bukti - Mohamaddin Ketapi

Mohamaddin berkata heretlah beliau sekali sekiranya ada bukti yang kukuh.

Mohamaddin (tengah) berkata heretlah beliau sekali sekiranya ada bukti yang kukuh. -Astro AWANI | Astro Awani
"Tariklah saya ke mahkamah jika ada bukti ... kemukakan fail, kita lawan di mahkamah."

Demikian tegas bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi ketika diminta mengulas mengenai bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau yang dikehendaki berhubung kes rasuah membabitkan RM3.7 juta yang dibayar sebuah syarikat untuk mendapatkan projek kementerian berkenaan.

Bekas SUSK itu menyerah diri semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah dilapor menghilangkan diri kira-kira dua bulan.

"Saya tiada komen mengenai hal ini. Apabila perkara itu keluar, datang pelbagai ancaman dan tawaran kepada saya.

"Saya rasa ini adalah tekanan daripada pihak tertentu agar saya berpaling dan menyokong kerajaan (waktu itu)," katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan parti Warisan Sabah (WARISAN) bahagian Silam pada Sabtu.

Bekas setiausaha sulit kanan menteri, tunang direman SPRM lima hari

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata heretlah beliau sekali sekiranya ada bukti yang kukuh.

Pada 12 Jun lalu SPRM telah mengeluarkan notis untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek pengiklanan di kementerian tersebut bernilai RM90 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun enggan mengulas lanjut.