KUALA LUMPUR: Kekecewaan terhadap kelembapan pelaksanaan agenda reformasi menjadi faktor utama di sebalik keputusan Wong Chen meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang.
Bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu berkata, kebimbangan terhadap hala tuju reformasi kerajaan sudah mula dirasainya sejak awal pentadbiran Kerajaan MADANI, apabila beberapa reformasi utama yang diperjuangkan sejak sekian lama dilihat tidak bergerak mengikut jangkaan.
Menurut beliau, antara reformasi yang sepatutnya perlu diberi keutamaan termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pembiayaan Politik serta pengisytiharan aset.
"Saya fikir ada sesuatu yang tidak kena pada permulaan Kerajaan MADANI. Seawal Januari 2023 selepas kerajaan dibentuk, kami tidak dapat berjumpa Perdana Menteri selama kira-kira sembilan bulan.
"Kami sangat mengambil berat soal reformasi dan tertanya-tanya di mana agenda 100 hari yang dijanjikan," katanya dalam program Consider This yang disiarkan Astro AWANI pada Khamis.
Wong Chen berkata, beliau kemudian baru berpeluang bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan beberapa cadangan reformasi yang sebelum itu telah lama diperjuangkan dalam gerakan reformasi.
Katanya, walaupun memahami keperluan kerajaan menstabilkan gabungan pentadbiran dan mendapatkan sokongan parti-parti komponen lain, beliau berpandangan langkah reformasi tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
Menurut beliau, reformasi berkaitan pengisytiharan aset dan kawalan terhadap kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sepatutnya menjadi keutamaan jika kerajaan benar-benar serius memerangi rasuah.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah pengisytiharan aset, diikuti perintah terhadap kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
"Jika serius mahu melawan rasuah, itu asas yang perlu dilakukan terlebih dahulu," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengisytiharan aset sahaja tidak mencukupi tanpa proses audit yang mampu mengesahkan ketepatan maklumat yang diisytiharkan.
Mengulas keputusan meninggalkan PKR selepas lebih 17 tahun bersama parti itu, Wong Chen berkata beliau pada mulanya memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan reformasi secara berperingkat.
Namun, selepas tempoh dua tahun, beliau mula berpendapat kerajaan semakin jauh daripada garis masa reformasi yang sepatutnya.
Katanya, dalam tempoh pentadbiran lima tahun, reformasi utama sepatutnya dimulakan lebih awal supaya hasilnya dapat dinilai sebelum pilihan raya seterusnya.
"Selepas dua tahun, saya mula beritahu komuniti saya bahawa kerajaan bergerak terlalu perlahan.
"Saya mula menekan dan menyuarakan perkara ini dengan lebih kuat dalam Parlimen," katanya.
Menurut Wong Chen, kegagalan melaksanakan reformasi asas pada peringkat awal pentadbiran menyebabkan peluang untuk melihat hasil yang bermakna sebelum tamat penggal semakin tipis.
Beliau turut mempertahankan tindakannya melepaskan kerusi Parlimen dengan menyatakan keputusan tersebut tidak akan menjejaskan keupayaan kerajaan untuk meluluskan undang-undang kerana kerajaan masih mempunyai majoriti yang mencukupi.
Sebaliknya, beliau berpandangan pengundurannya telah membuka semula perbincangan awam mengenai isu reformasi yang menurutnya semakin tenggelam daripada perhatian umum.
"Ternyata selepas saya meletakkan jawatan, agenda reformasi kembali menjadi perbincangan.
"Itu sesuatu yang positif untuk rakyat dan negara," katanya.
Minggu lalu, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang dan keluar daripada PKR sebelum menyertai parti baharu, Bersama, yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad.