Reformasi parti politik lebih penting dari reformasi Parlimen - Pengerusi Idris

Astro Awani
September 6, 2021 07:28 MYT
Datuk M Nizam berpandangan, situasi itu menghalang kualiti dan kredibiliti Ahli Parlimen dalam setiap mesyuarat penggal. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Reformasi politik perlu dilakukan kepada parti yang mahu wakil mereka menyokong kepimpinan utama semata-mata kerana bergantung kepada watikah sebelum pilihan raya.
Pengerusi Persatuan Kajian Pembangunan dan Kemampanan Antarabangsa (Idris), Datuk M Nizam Mahsar berkata, situasi itu dilihat menghalang kualiti dan kredibiliti Ahli Parlimen dalam setiap Mesyuarat Penggal.
"Saya rasa ada reformasi yang lebih mendasar, iaitu kepada sistem politik yang memastikan supaya kualiti itu berlaku. Kita ingat dalam parti politik ada undang-undang pertubuhan, jika ahli bawa parti politik ke mahkamah pun boleh dipecat keahlian. Jadi proses semak dan imbang dalam parti politik itu sendiri tidak ada. Bagaimana kita hendak pertikai dan sebagainya.
"Contohnya kita bercakap mengenai lompat parti, dalam satu situasi saya bersetuju tetapi cuba bayangkan kalau parti itu sendiri terlibat dengan kleptokrasi, rasuah dan sebagainya dan Ahli Parlimen bertindak untuk keluar seperti kes dahulu sama ada mereka dipecat atau keluar parti.
"Adakah itu salah kerana parti itu sendiri tidak menjunjung keadilan, kebenaran atau prinsip demokrasi yang ada?" soalnya semasa sidang video pada Isnin.
BACA: Azalina hantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021
BACA: Perkenalkan pilihan raya pecat wakil rakyat lompat parti - Azalina
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar satu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, usul tersebut, di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan dan diharap menjadi titik permulaan memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau “Recall Election” pada sidang September ini.
Di samping itu, katanya, beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan 'Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti' di antara Ahli-ahli Parlimen yang berminat.
#Parlimen #pilihan raya #Rasuah #idris