KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli merupakan calon perdana menteri kesembilan pilihan majoriti responden bandar.

Sinar Harian melaporkan, dalam satu kaji selidik dalam talian bertajuk ‘Siapa PM Selepas TS Muhyiddin?’ yang dibuat oleh Profesor Adjung dan Pengarah Inovasi Sosial dan Perubahan (SLAS) Taylor's University, Anas Zubedy.

Anas berkata, ketiga-ketiga calon tersebut mendapat undian tertinggi dan ia sekali gus menunjukkan responden bandar percaya dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul.

“Selain itu, ada juga calon yang meraih undian ramai antaranya Anthony Loke dari DAP.

“Walaupun beliau dari DAP, undian yang diperoleh bukan dari satu kaum sahaja, tetapi kaum lain juga turut mengundi beliau sebagai calon Perdana Menteri yang kesembilan.

"Jadi di sini kita lihat Anthony Loke turut mendapat kepercayaan yang tinggi.

BACA: Anwar jadi pilihan netizen untuk jadi PM ke-9

“Bagaimanapun kita perlu faham, kajian yang dilakukan ini lebih tertumpu kepada responden yang berada di bandar sahaja,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-269 bertajuk ‘PM9: Abah atau Siapa’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Wacana tersebut turut menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib @Khalid, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Bagaimanapun, Anas berkata, untuk tempoh dua tahun ini janganlah adakan pilihan raya ataupun perebutan kuasa.

Menurut Anas, beliau lebih gemar sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari jalan lain untuk mengumpul satu pakatan baharu termasuk pihak pembangkang yang ada sekarang.

“Kita ada dua orang yang sebelum ini mempunyai pengalaman yang cukup luas iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

Kedua-duanya kalau kita lihat dah lama nak menjaga Malaysia.

“Justeru, kalau masing-masing boleh bantu Muhyiddin, kita boleh kembalikan kestabilan politik selain menangani isu Covid-19, ekonomi, rasuah, perpaduan negara dan alam sekitar di negara,” katanya.

Artikel asal di Sinar Harian: SINAR PM: Khairy, Nurul Izzah, Rafizi calon PM ke-9