POLITICS
Roslan Hassan umum keluar Bersatu serta-merta, lepas jawatan dalam parti

Roslan (tengah) mengumumkan keluar daripada parti Bersatu berkuat kuasa serta-merta (1 November). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bendahari Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Roslan Hassan mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta (1 November).
Ringkasan AI
- Datuk Roslan Hassan mengumumkan keluar dari Bersatu dan melepaskan semua jawatan termasuk Bendahari PN Pahang, berkuat kuasa serta-merta.
- Roslan mendakwa hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti yang dianggap gagal, tidak amanah, dan tiada integriti.
- Penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong tanpa alasan kukuh dan ketidaksetujuan terhadap pindaan peraturan parti menjadi punca utama tindakan Roslan.
Dalam masa sama, ujarnya, ia rentetan daripada penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong pada 24 September lalu tanpa sebab dan alasan kukuh.
“Saya mengandaikan penggantungan ini kerana saya menyuarakan tidak bersetuju dengan beberapa pertukaran dan pindaan yang dibentangkan pimpinan tertinggi parti di Konvensyen Bersatu Peringkat Nasional pada 13 Julai lalu.
“Pindaan itu bercanggah dengan Peraturan Persidangan Bahagian-bahagian dan Cawangan-Cawangan yang asal. Maka bagi menutup suara kami, tiada jalan lain melainkan menggantung Jawatankuasa Bahagian Bentong,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menerusi kenyataan sama, Roslan juga berkata pada 21 Oktober lalu, pihaknya telah menerima surat berhubung penetapan tarikh-tarikh Persidangan Cawangan, Persidangan Sayap dan Persidangan Bahagian bagi Bahagian-Bahagian yang tidak terlibat dengan pemilihan 26 Oktober dan 2 November, yang mana Bahagian Bentong adalah satu dari bahagian-bahagian tersebut.
Dia telah membalas surat berkenaan dengan menerangkan bahawa sepatutnya Bahagian Bentong tidak perlu lagi menjalankan persidangan cawangan-cawangan kerana digantung adalah Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong, bukannya Bersatu Bahagian Bentong.
"Ini sekali lagi memperlihatkan pimpinan tertinggi tidak cermat, tidak teliti serta gagal memahami keputusan yang telah dibuat oleh mereka sendiri.
"Kegopohan dan keputusan secara semberono ini dibuat kerana didorong oleh kehendak dan hasrat mengetepikan mereka yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi serta cubaan secara curang bagi menaikkan mereka yang mengikut telunjuk kepimpinan meskipun telah terang-terangan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti," ujar Roslan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami