KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan antilompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet Negeri bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

Katanya, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

"Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

"Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

"Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik," katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau Di Dewan Masyarakat Keningau, pada Ahad.

Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Beliau berkata, satu lagi pencapaian kerajaan negeri ialah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri selewat-lewatnya tahun hadapan.

Menurutnya, agensi-agensi berkaitan dalam Kerajaan Persekutuan dan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

Katanya, sebagai persiapan Kerajaan Negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.