PENGERANG: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti adalah satu pendekatan progresif bagi Malaysia berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata usaha penggubalan rang undang-undang berkenaan adalah satu perkara positif dibuat di bawah kerajaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Bagi saya ini satu pendekatan yang lebih adil supaya rakyat tidak rasa tertipu dan kita mesti sediakan pengundi dengan satu komitmen bahawa undi mereka itu sangat berharga.

"Kita tidak mahu mereka undi 'A' yang datang daripada sebuah parti politik, apabila menang, dia melompat ke parti 'B' yang rakyat tidak mengundi, sebab itu perkara ini kerajaan amat bersungguh," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.

RUU Anti Lompat Parti | Azalina optimis dilaksanakan sebelum PRU15


Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Azalina berkata beliau optimis RUU Antilompat Parti dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum PRU15.

"Saya harap dalam sidang terdekat ini dapatlah kita membuat pindaan khususnya di bawah Perkara 10 dan Perkara 48 terlebih dahulu sebelum PRU15," katanya.

Katanya, kerajaan hari ini banyak berkompromi untuk melihat perubahan demi memastikan rakyat kekal yakin kepada sistem demokrasi negara.

RUU Antilompat Parti yang sepatutnya dibentang di Dewan Rakyat pada 11 April lepas ditunda dan dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Onn Hafiz dan Azalina menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Khidmat Fisioterapi antara Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Perubatan Senaman Asia Dr Muhammad Lee dan Setiausaha Pertubuhan Rakan Aktif Parlimen Pengerang Muhammad Khairuddin Mohamed Ariffin.

Menerusi MoU itu subsidi sebanyak 90 peratus diberikan kepada warga emas untuk mendapatkan khidmat fisioterapi dengan bayaran perkhidmatan hanya RM20 sejam berbanding RM150 sebelum ini.

-- BERNAMA