KUCHING: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti tidak perlu digubal di peringat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menteri Pelancongan, Seni Kreatif, dan Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat DUN Sarawak hanya perlu menunggu RUU tersebut diwartakan sebagai akta di peringkat pusat sebelum dikuatkuasakan di peringkat negeri.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, penguatkuasaan RUU tersebut adalah di bawah Akta Pilihan Raya diperingkat pusat dan tidak melibatkan akta diperingkat negeri.

“Saya rasa perkara ini (pindaan RUU) tidak perlu dibuat diperingkat DUN kerana ia sudah dibuat di Parlimen kerana Akta Pilihan Raya adalah akta di peringkat pusat bukan akta diperingkat negeri, kita hanya  menunggu bila RUU ini akan digazetkan sahaja untuk menjadi undang-undang yang akan diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN (Asean-SCC) kali ke-23 dan Mesyuarat kali ke-11 ASEAN Campur Tiga Cultural Cooperation Network Meeting (APTCCN), di sini pada Khamis.

Tambahnya RUU baharu tersebut adalah satu keputusan yang menjurus kepada perjalanan politik yang lebih baik dalam negara.

“Kalau seseorang itu mahu bertanding atas mana-mana parti kekallah dengan parti itu janganlah setengah jalan, melompat sana melompat sini yang mengkhianati kepercayaan yang diberikan pengundi,” ujarnya lanjut. 

Dewan Rakyat pada Khamis mencatat sejarah apabila meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata,  209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU tersebut dijangka berkuat kuasa pada minggu pertama September depan

Ia selari dengan pembentangan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos depan.