KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang dicadang diperkenalkan seharusnya memberikan autonomi institusi, pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen dalam memperkasa peranan institusi itu khususnya sebagai medium semak dan imbang kepada Kerajaan pada hari ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, RUU berkenaan juga adalah kesinambungan tawaran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap usaha mereformasi Parlimen selaku institusi semak dan imbang berkesan kepada tadbir urus kerajaan.

"Kami menekankan prinsip pengasingan kuasa yang menganjurkan badan Parlimen, eksekutif dan kehakiman supaya bebas antara satu sama lain tetapi boleh memeriksa perjalanan tugas antara mereka.

"Kami menggesa semua parti politik dan ahli Parlimen untuk mengetepikan perbezaan politik dan memberi sokongan rentas parti kepada RUU Perkhidmatan Parlimen supaya kewibawaan Parlimen dikembalikan.

"Kami menggesa pihak pimpinan Kerajaan baharu dan Parlimen mengambil tanggungjawab dan komitmen terhadap reformasi institusi Parlimen sekali gus memperkasanya melalui sebuah Undang-undang perkhidmatan Parlimen yang baharu," katanya semasa sidang maya Pelancaran Laporan Kajian dan Wacana Mengenai mengembalikan undang-undang perkhidmatan Parlimen pada Jumaat.

Laporan dinaungi bersama oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh sekumpulan penyelidik Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) dan ahli akademik Universiti Awam.

BACA: Transformasi Parlimen: Kerajaan setuju tubuh jawatankuasa bersama - Wan Junaidi

BACA: 
Azalina hantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Dalam pada itu, Thomas menjelaskan, Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen harus meliputi ciri-ciri berikut;

1. Mengembalikan peruntukan berhubung dengan perkhidmatan Parlimen dalam Perkara 65,  Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber kuasa bagi  penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

2. Meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas dan dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

3. Memperkenalkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen bertujuan untuk menjamin kebebasan perkhidmatan Parlimen dengan ciri-ciri penting seperti berikut:-

i. Fungsi Suruhanjaya yang teras dan jelas dinyatakan dalam Akta;

ii. Keahlian perlu ganjil, bagi tujuan membuat keputusan jika perlu pengundian.;

iii. Penubuhan beberapa Jabatan di Parlimen dan peranan Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan dan Setiausaha Jabatan secara jelas dikanunkan dalam Akta;

iv. Nilai-nilai Perkhidmatan Parlimen harus didefinisikan sebagai “Nilai Falsafah penting dalam Perkhidmatan Parlimen” atau Kod Tata Kelakuan.

4. Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Pentadbiran dan Kewangan Parlimen bagi membantu Suruhanjaya menjalankan peranannya.

5. Menerapkan model pengurusan  perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk memastikan autonomi kewangan Parlimen.

6. Mempertimbangkan skim persaraan yang fleksibel kepada kakitangan perkhidmatan Parlimen yang setaraf dengan skim perkhidmatan awam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataannya memaklumkan, kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses transformasi Parlimen.

Menurutnya, persetujuan dicapai pada pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Khamis.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu, katanya, tiga perkara penting dibincangkan, termasuk mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan mewujudkan satu akta Parlimen baharu.