IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan jika Menteri Besar Negeri Sembilan tidak dilantik dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) seperti tersebar dalam poster yang tular di media sosial.

Beliau berkata perbuatan mewujudkan kenyataan palsu itu langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada negara serta rakyat dan menasihati pihak terbabit agar menghentikan politik berunsur fitnah serta mengadu domba.

"Saya diberitahu, kenyataan palsu ini sedang disebarkan di media sosial. Saya tidak pernah keluarkan kenyataan sedemikian.

"Pilihan raya umum dan negeri sudah selesai, wakil rakyat sudah dipilih. Ini masa untuk kita bekerja untuk rakyat," katanya di laman Facebook.

Terdahulu, tersebar poster yang mendakwa Saarani mengeluarkan kenyataan tidak akan teragak-agak membuat satu keputusan 'besar' sekiranya Negeri Sembilan gagal diterajui oleh Menteri Besar dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri BN.

Poster itu, yang mengandungi gambar Saarani, turut menyatakan "perpaduan ini haruslah disokong dengan keadilan. BN merupakan pemenang kerusi paling banyak di Negeri Sembilan."

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menafikan dakwaan bahawa beliau mempertikai pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan seperti dalam poster yang tular di media sosial hari ini.

Menteri Besar Pahang itu menyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut sebagai ingin mencalarkan imej beliau selain bertujuan memecahbelahkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Cukup-cukuplah berpolitik 24 jam dan hentikanlah menyebar fitnah kebencian yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan kita semua," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Antara kandungan poster itu ialah Wan Rosdy kononnya berkata Negeri Sembilan perlu mencontohi Pahang yang pentadbirannya diketuai BN selain beliau tidak teragak-agak untuk menukar komponen pentadbiran negeri jika BN dinafikan hak menjadi Menteri Besar di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Sikamat pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lepas, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.

-- BERNAMA