GEORGE TOWN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau belum lagi melihat surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

Beliau berkata, setakat hari ini beliau belum berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut memandangkan baru tiba dari Manila, Filipina.

Saifuddin berkata, beliau tidak mahu membuat kenyataan berhubung surat berkenaan sehingga melihat sendiri surat yang dikeluarkan pihak RoS.

Beliau juga akan memanggil Ketua Setiausaha KDN dan pegawainya selepas melihat surat itu.

"Saya tak tengok lagi surat itu, macamana nak tahu cerita itu sebab saya berada di Manila, baru datang sini.

"Surat kerajaan ini rahsia besar, sulit. Takkan saya nak tengok melalui WhatsApp, kena beradablah, buat proper way. Bagi saya peluang tengok surat baru saya panggil. Itu baru betul. Takkan saya nak speculate sana sini, takkanlah saya nak keluar kenyataan teraba-raba macam itu," katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung surat RoS mengenai usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada Pemilihan UMNO kali ini.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah menerima surat daripada KDN yang mengesahkan Pendaftar RoS menerima usul parti itu bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata, RoS sudah meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Pemilihan UMNO | RoS terima usul tidak pertanding jawatan Presiden, Timbalan