PADANG SERAI: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, menyifatkan keputusan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk Kabinet yang lebih kecil membuktikan pemimpin berkenaan mengotakan janjinya yang dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua menteri yang dilantik akan memikul tanggungjawab dan menjalankan tugasan yang lebih besar dalam memastikan pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik.

"(Hasil pengumuman yang dibuat semalam), perkara itu (membuktikan) Perdana Menteri sudah fikir secara menyeluruh.

"Maka (atas sebab) itulah dilantik (jumlah) menteri yang sedikit kali ini.

"Perdana Menteri sebut Kabinet yang lebih kecil, memang dia kotakan (janjinya), hanya 25 sahaja (Menteri dilantik termasuk yang memikul dua jawatan).

"Jadi kita terpaksa memikul kerja yang lebih besar dan berat kerana menteri lebih kurang dan (kalau kita mengenali Anwar Ibrahim), dia mahukan hasil yang lebih baik lagi pada masa akan datang," kata Mohamad.

Mengulas mengenai parti Amanah yang hanya diberikan dua jawatan menteri, beliau menyatakan pelantikan kali ini hanya melibatkan menteri-menteri dan pelantikan lain akan dibuat dalam masa terdekat, terutama bagi jawatan timbalan menteri serta jawatan-jawatan lain di dalam kerajaan.

"(Sebenarnya pengumuman itu adalah) baru (di) peringkat Menteri, dia ada lagi Timbalan-Timbalan (Menteri), ada lagi pelantikan lain.

"Ini (adalah) peringkat awal dan perbincangan akan berterusan. Pelantikan (wakil rakyat Amanah), saya yakin (akan ada lebih) banyak pelantikan," kata Mohamad lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Pengumuman Khas Pilihanraya Parlimen Padang Serai buat julung kalinya menampilkan kepimpinan PH dan BN dari peringkat nasional dan negeri Kedah di Taman Desa Aman, Padang Meiha pada Jumaat (semalam).

Lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akhirnya menamatkan persoalan dan teka-teki berhubung barisan Kabinet yang akan bersama-sama dengannya mentadbir negara.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang menjadi antara tumpuan utama sejak beberapa hari lepas diisi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sementara itu, pelantikan Fadillah yang turut menjawat jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi, menyaksikan Ahli Parlimen Petra Jaya itu mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama dari Sarawak yang diberi amanah untuk menggalas jawatan tersebut.

Dalam pada itu, beberapa bekas menteri Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi menteri iaitu Mohamad Sabu yang dilantik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sementara Anthony Loke Siew Fook kembali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Selain itu, turut kembali ke Kabinet ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), dan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan).