Jika benar ‘menteri’ itu menakut-nakutkan pengundi sewaktu berkempen di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, itu adalah satu perbuatan yang sama sekali tidak beretika, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata semua pihak harus beringat bahawa kempen pilihan raya itu hanya 16 hari, tetapi penduduk di Tanjung Piai akan terus tinggal di situ, dan kempen yang dijalankan tidak sepatutnya melampaui batas.

Ujarnya lagi, isu perkauman seharusnya dielakkan sebagai bahan kempen kerana ia boleh memudaratkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

“Yang saya khuatiri menteri-menteri kadang kadang bercakap perkara melampaui batas-batas. Yang once you crossed the line, sebab seumpama membawa isu-isu perkauman ini tidak baik.

"Kita pilihan raya sekejap je, 16 hari kita kempen. Lepas ni penduduk Malaysia, penduduk Tanjung Piai akan hidup seperti satu keluarga yang besar. Penduduk malaysia akan hidup sampai bila-bila.

“Apakah kita nak menang, kita akan menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah terbina selama ini?

"Dan untuk membina semula bukan senang. Kerana bila perasaan terpendam terutamanya isu perkauman itu berbahaya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio, Kukup Laut, dalam satu perjumpaan tertutup bersama guru di sekolah itu.

Dalam sebuah video yang tular di media sosial awal hari ini, Salahuddin dipetik sebagai berkata, "Saya tau ada marahkan PH, tapi ingat kalau bagi balik BN berkuasa, dia kawan sama Pas. Ini country akan huru hara! Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tiada orang tembak sana sini, tiada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh"


Ekoran penularan video itu, Pemuda Barisan Nasional telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian kerana kenyataan Salahuddin itu didakwa berbaur perkauman dan boleh memudaratkan keselamatan negara.

Ketua Pemuda UMNO Tanjung Piai Syahrulzaman Ibrahim berkata pihak berkuasa digesa menyiasat perkara tersebut berdasarkan Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan kaum dalam kempen pilihan raya.