ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengalu-alukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar untuk bertanding dalam gelanggang Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga secara berseloroh menamakan beberapa kawasan DUN yang sesuai ditandingi Mahfuz termasuk Derga, Alor Mengkudu dan Bukit Lada.

Muhammad Sanusi menyuarakan pelawaan itu sebagai mengulas kenyataan Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah itu berhubung gabungan PH- Barisan Nasional (BN) mampu memecah dominasi PN di Kedah dalam PRN akan datang.

Mahfuz juga memberikan contoh pemerintahan Pas di Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004 yang hanya mampu bertahan satu penggal sahaja.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah membidas kenyataan itu dengan menyatakan situasi yang berlaku ketika itu adalah disebabkan penglibatan individu seperti Mahfuz yang bersama Pas sebagai pemimpin utama.

"Waktu (Presiden Pas) Tuan Guru (Tan Sri Abdul) Hadi Awang perintah satu penggal (di Terengganu), pemimpin utama (di dalam Pas ketika itu adalah orang seperti) Mahfuz Omar, maka kita tidak dapat pertahan Terengganu, kerana pemimpin kita macam itu.

"Sekarang dia tidak bersama kita dan dia (pun) kalah di Pokok Sena (dengan majoriti besar) 31,000 (undi), saya ucap selamat kembali untuk bertanding di kerusi DUN pula, cuba nasib di mana-mana (DUN) seperti Alor Mengkudu, Bukit Lada, Derga untuk kita berentap di medan politik.

"Kalau nak bercakap siapa pun boleh, (tetapi kalau sampai) 31,000 (undi) majoriti, (susah Mahfuz) nak cover balik (dalam PRN akan datang)," kata Muhammad Sanusi lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Kedah pada Sukan Malaysia 2022 di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Semalam, Mahfuz berkata, belum ada perbincangan serius membabitkan gabungan PH dan BN, namun, kedua-dua pihak ada bercakap tentang perkara itu secara tidak rasmi.

Beliau juga yakin gabungan ini mampu memecah dominasi Pas di Kedah memandangkan tiada apa yang mustahil dalam politik.

Memberikan contoh kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir Pas selama satu penggal oleh Presiden Pas pada 1999 sehingga 2004, Mahfuz berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku di Kedah, apatah lagi kerajaan negeri dibawah pimpinan Muhammad Sanusi didakwa tertubuh hasil pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).