PUTRAJAYA: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melakukan taubat nasuha selepas mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, fakta BN dan Pakatan Harapan (PH) dititah untuk menghadap Yang di-Dipertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum (ke-15) bagi membentuk kerajaan adalah tidak dapat disangkal lagi.

"Saya harap taubat nasuha diutamakan oleh beliau," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) dekat sini pada Khamis.

Menurutnya, tidak semua perkara boleh dijadikan bahan kempen yang akhirnya merosakkan diri sendiri.

"Politik ini bukan bahan lawak. Politik ini bukan bahan untuk bergurau. Fakta adalah fakta," katanya.

Beliau bagimanapun enggan melayan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu kerana menyifatkan ia akan menjadi isu mengarut berbahas dengan pihak yang tidak begitu bijaksana mentafsir.

Muhammad Sanusi dilaporkan membuat dakwaan berhubung perkara itu di dalam ceramah Jelajah Selangor pada Selasa lalu.

Selain itu, beliau juga didakwa menghina Sultan Selangor dan meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Sinar Harian