KUCHING:Sarawak tidak mempunyai pilihan untuk menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tempoh matang DUN Sarawak berakhir pada Jun 2021.

Hal ini kerana kata Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Simanggang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia tertakluk kepada perlembagaan yang memperuntukkan pembubaran DUN, atau ia akan terbubar secara automatik.

"Keputusan untuk mengadakan PRN bukan pilihan, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan perlembagaan.

"Ini terpulang kepada kebijaksanaan Ketua Menteri untuk menasihati Tuan Yang Terutama berhubung pembubaran dan bila PRN12 perlu diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat Parlimen Santubong, di sini pada Jumaat.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, keputusan pembubaran DUN oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu dibuat selepas mengambil kira lunas undang-undang dan perlembagaan.

Selain itu, Wan Junaidi turut menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi PRN Sarawak.

Malah katanya, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas SPR untuk memastikan perjalanan pilihan raya dalam keadaan selamat.

"Pihak SPR mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memutuskan SOP tertentu untuk digunakan ketika berada di lokasi penamaan calon, berkempen dan pengundian awal. Semua itu di bawah bidang kuasa SPR," tambahnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Parti BN dibubarkan di Sarawak setelah pertimbangan dan keputusan sebulat suara daripada empat parti komponen negeri itu untuk keluar dari parti berkenaan dan membentuk sebuah gabungan dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Pembentukan gabungan tersebut dilihat mempunyai hala tujunya tersendiri yang mampu membawa aspirasi serta melindungi kemaslahatan rakyat Sarawak berlandaskan Perlembagaan Persekutusan dan Kerajaan Persekutuan.  

Parti-parti berkenaan adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP). 

Abang Johari memenangi kerusi DUN Satok dengan majoriti undi 5,045 menewaskan pencabarnya, Mohammad Salleh Shawkatali pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.