Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar mendakwa dia bukan lalang walaupun sejak kebelakangan ini umum melihat dia agak lantang dalam menyuarakan pendapat mengenai skandal 1MDB.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata setelah BN mengalami kekalahan yang pertama dalam sejarah PRU mengapa masih mahu menegakkan benang yang basah.

“Kita kena terima realiti bahawa 1MDB adalah punca utama kita (BN) kalah.

“Itu bukan saya jadi lalang, saya masih lagi dalam UMNO, masih lagi bersama BN dan saya hormat Datuk Seri Najib sebagai bekas pemimpin saya.

“Tapi takkan lah saya tak boleh kritik beliau. Takkanlah saya tak boleh kata, saya dah sedar diri dan mengakui, saya pun salah sebab saya pada satu ketika dulu anggap 1MDB bukan isu besar.

“Padahal ia memang isu besar dan sekarang ini ia telah pun dibuktikan di mahkamah di Amerika Syarikat dan sebagainya,” katanya ketika di temu bual di Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pengantara radio itu, berkaitan perkongsiannya di Twitter 3 November lalu iaitu ‘Kita kalah kerana 1MDB. Tamat.’

Terdahulu, Khairy berkata, mungkin ada yang kata kenapa sekarang baru nak cakap dulu tak nak cakap.

“(Sebenarnya) Ramai bekas menteri telah bersuara di Kabinet, tapi kita tak boleh bersuara di luar sebab kita anggota jemaah Menteri. Ada yang bersuara sehingga dipecat dan ada yang tak sampai dipecat,” katanya.

Khairy juga memberitahu, perkongsiannya di Twitter 3 November lalu adalah sebagi maklum balasnya terhadap laporan berita yang menyatakan bahawa dalam program Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Facebook Najib telah menyatakan BN kalah dalam PRU lalu disebabkan fitnah dan penipuan.

"Tapi saya sedikit berbeza pendapat dengan kenyataan itu, saya kira sebab utama kita kalah adalah sebab isu 1MDB.

“Walaupun kes ini masih dalam siasatan dan ada sebahagian telah di bawa ke mahkamah tapi saya nak sebut bahawa isu ini atau skandal ini adalah realiti dan telah membentuk persepsi pengundi Malaysia yang sangat negatif terhadap BN,” katanya.