POLITIK
Saya harap boleh bantu menteri baharu - Nik Nazmi

Nik Nazmi ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian jersi Kuala Lumpur Rangers di Taman Eko Rimba, Kuala Lumpur, hari ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: “Saya harap boleh bantu menteri baharu nanti.”
Ringkasan AI
- Nik Nazmi tetap mahu letak jawatan Nik Nazmi mengesahkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai, tetapi sedia membantu menteri baharu, terutama dalam isu Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN).
- RUU PIN sudah dilulus kabinet Nik Nazmi menyatakan RUU PIN telah diluluskan oleh Kabinet untuk dibawa ke Parlimen dan menganggapnya sebagai pencapaian penting sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
- Perdana Menteri masih harap mereka kekal Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kepimpinan PKR berharap Nik Nazmi dan Rafizi Ramli mempertimbangkan semula keputusan untuk berundur daripada Kabinet.
“Boleh ikuti apa yang saya cakap tadi. Boleh ikuti apa yang saya cakap di Royal Selangor hari itu. Baca apa yang saya cakap.
“Saya harap saya boleh bantu menteri baharu untuk selesaikan RUU PIN yang telah diluluskan di Kabinet. Jadi, boleh buat konklusi di situ,” katanya.
Jumaat lalu, berucap pada Royal Selangor Eco Week 2025 di Royal Selangor Visitor Centre, di sini, Nik Nazmi dalam nada sama mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilapor 'belum terbuka hati' meluluskan permohonan peletakan jawatan beliau.
Hari ini, beliau sekali lagi menjawab pertanyaan pemberita ketika ditanya sama ada tetap dengan keputusan itu, selepas menyempurnakan majlis perasmian jersi Kuala Lumpur Rangers (KLR) di Taman Eko Rimba, di sini.
Nik Nazmi merupakan Penaung KLR.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri, berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun.
Nik Nazmi berkata, RUU PIN yang diluluskan Kabinet untuk dibawa ke Parlimen adalah antara perkara terbesar yang membanggakannya dan beliau amat berbesar hati untuk membantu menteri selepas ini.
Anwar sebelum ini dilaporkan masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan itu untuk memikirkan secara mendalam sebelum membuat keputusan muktamad.
Katanya, beliau berharap Rafizi dan Nik Nazmi dapat menyertai semula barisan Kabinet pimpinannya.
Semalam, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengharapkan dua tokoh yang banyak berjasa kepada PKR itu dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk melepaskan jawatan.
Beliau berkata, Anwar bukan sahaja Presiden PKR, tetapi juga dianggap sebagai 'ayah' yang telah memberi mesej jelas kepada kepimpinan bahawa dalam sesuatu pemilihan, akan ada yang menang dan yang kalah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami