SHAH ALAM : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Rafizi Ramli mengakui beliau sememangnya seorang yang lantang bersuara, namun, beliau bukan seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pernah menjawat jawatan sama dalam parti itu.

Rafizi menjelaskan pendiriannya itu di hadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh delegasi Kongres Nasional Keadilan Ke-16 yang berlangsung di sini, pada Ahad.

“Saya nak sebut pada Anwar, saya mungkin lantang tapi saya bukan Azmin Ali. Saya telah buktikan saya tak berminat jawatan menteri atau jawatan dalam pentadbiran awam,” kata Rafizi dalam ucapan sulungnya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Dalam ucapan itu juga, Rafizi membawa perhatian delegasi pada pengalamannya menjalani hidup sebagai orang biasa yang tiada jawatan suatu masa lalu.

Bahkan, beliau turut mendedahkan bagaimana pertemuan dengan Presiden PKR pada bulan Ramadan lalu sehingga membawanya pada kedudukan hari ini.

“Ramadan lepas, Anwar minta nak jumpa saya, selepas lama tak jumpa dan saya jumpa beliau. Saudara Anwar pujuk, kalau ada kesempatan di Putrajaya, boleh ke tidak tolong pertimbangkan untuk mendapat tempat (dalam kerajaan).

“Saya tak kata ya, tak kata tidak sebab saya memang tak berminat. Betul, boleh tanya beliau (Anwar). Saya bawa saksi, ingat tak?

“Semasa Pakatan Harapan (PH) menang dulu, saya kembali menjadi orang biasa. Saya tidak pernah mendapat sebarang jawatan, tak pernah dapat satu sen dan saya tak pernah rasa kesal. Itu pilihan saya kerana saya masuk parti ini bukan untuk jawatan.

“Cuma… kalau saya kritik, kamu yang pegang jawatan, saya yang anggota biasa, yang berjuang, jangan kamu hampakan harapan dan tanggungjawab yang kami letak kepada kamu,” kata Rafizi lagi.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, beliau juga bukanlah seorang yang jenis manis di bibir tapi menikam di belakang.

“Saya tak pernah janji nak pecahkan tembok penjara untuk bebaskan Anwar masa Anwar Ibrahim masuk penjara.

“Depan janji, belakang runding nak jadi Perdana Menteri. Saya tak angkat, julang atau puji. Kalau Presiden nak kecil hati, kecil hatilah.

“Tapi saya harap saya dihakimi, diadili dengan usaha dan kerja saya dengan konsistensi saya yang sebut beberapa perkara,” ujar beliau lagi.