KUCHING: Kredibiliti yang ada pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cukup untuk melayakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mengulas mengenai calon yang layak memegang jawatan itu.

Ketika ditemui selepas selesai menghadap Agong untuk pengesahan Perakuan Sumpah, tanpa rahsia beliau mendedahkan nama Ahli Parlimen Bera itu sebagai pilihannya.

“Saya sokong Ismail Sabri. Saya dah mengenali Ismail ni cukup lama semenjak saya menjadi Ahli Parlimen. Bayangkan saya melihat dia daripada satu kementerian kepada satu kementerian.

“Dan saya melihat dia sebagai mana yang saya telah sebut dia berkemampuan bekerja, dia mempunyai kredibiliti dan dia juga saya nampak ‘bersih’ dan sangat sensitif kepada keperluan kita (Sarawak),” katanya kepada media pada Khamis.

Menurutnya, pengalaman Ismail Sabri dalam beberapa kementerian sebelum ini dilihat sebagai salah satu bukti yang mengukuhkan kelayakannya sebagai pemimpin negara.

Malah dengan latar belakang seorang peguam membuatnya arif dalam hal ehwal undang-undang.

Tambahnya lagi, Ismail juga seorang yang sensitif dengan isu dan prihatin terhadap keperluan di negeri Sarawak.

“Sebabnya dulu sebelum Pakatan Harapan, pada 2013 dia meluluskan dua projek dalam masa yang singkat iaitu projek air untuk Lundu RM27 juta dan yang satu lagi ialah projek jalan untuk Kampung Sembilan Beradik RM65 juta diluluskan begitu sahaja satu kali saya bawa ke kabinet dilulus.

“Tetapi malangnya kelulusan itu dibatal oleh Pakatan Harapan tetapi apa yang berlaku sekarang projek air di Lundu diambil alih oleh Kerajaan Negeri GPS juga yang di Kampung Sembilan Beradik itu masih diteruskan oleh pihak kerajaan Pusat,” jelasnya lagi.

Ismail Sabri sebelum ini menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Keselamatan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengambil tindakan meletak jawatan selepas 15 ahli parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan Kerajaan Perikatan Nasional sekali gus menyebabkannya hilang sokongan majoriti.