KUALA LUMPUR: Kupasan buku terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad, Capturing Hope: The Struggle Continues For a New Malaysia yang mencetuskan ketidakselesaan dan mengundang bidasan pemimpin Jawatankuasa Pusat DAP, Tony Pua menggambarkan apa yang didedahkan dalam  buku itu adalah benar.

Soal bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, apa perlunya Tony Pua mengeluarkan kenyataan bertubi-tubi membidasnya sejak beberapa hari lalu, sekiranya dia bukan individu yang dikaitkan dalam buku itu.

"Saya tidak sebut nama dia (Tony Pua). Namun, dia faham yang kandungan itu merujuk dirinya. Itu sudah membuktikan apa yang saya tulis adalah benar. Kenapa perlu dia respons kalau ia merujuk kepada individu lain?

"Dia mengambil masa menulis esei panjang. Saya juga ada maklumkan kepada Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan) yang dia menimbulkan banyak masalah, dia berlagak seperti menteri, memanggil pegawai untuk maklumkan semua perkara," katanya.

Politik | 'Saya tidak sebut nama dia' bidas Tun M kepada Tony Pua


Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran buku terbaharunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for A New Malaysia di sini, pada Ahad.

Dalam buku setebal 297 muka surat itu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Damansara itu ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Guan Eng bertindak angkuh dan melampaui batas bidang kuasanya sebagai seorang Setiausaha Politik.

Beliau didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai penasihat Guan Eng untuk mencampuri urusan kerajaan.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa Tony Pua yang mengakibatkan ramai yang menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana merasakan kerajaan tidak bersimpati dengan nasib mereka.

Sementara itu, sebagai membidas kenyataan itu, Tony Pua dalam kenyataannya mendedahkan punca tercetusnya kemarahan bekas perdana menteri itu adalah ekoran surat terbuka yang ditulisnya kepada pengarah MMC-Gamuda berkenaan projek MRT2 pada Oktober 2018.

Namun begitu, Tony Pua menjelaskan beliau tidak menyesal menulis surat terbuka itu walaupun ia terus menjadi duri dalam daging bagi Mahathir.