Exco Perak dari DAP, Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau tidak akan menangis sekiranya terpaksa melepaskan jawatannya pada bila-bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, sebagai orang politik, beliau sentiasa bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.

"Saya tak menangis lah, saya boleh senyum lagi. Apa nak ditangiskan sebab saya rasa, daripada hari pertama saya dipilih (menjadi) wakil rakyat dan exco dalam kerajaan, saya sedar bahawa kedudukan saya tidak tetap dan saya boleh terkeluar ataupun dikeluarkan bila-bila masa.

BACA: Saya tidak akan lompat tinggalkan DAP - Aziz Bari

BACA: Exco Perak, Hasnul menangis teresak-esak tinggalkan pejabat

"Jadi pada saya, ini satu perkara yang kita harus jangkakan. Jadi saya tak perlu menangislah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.

Abdul Aziz sebelum itu turut memaklumkan, beliau tidak akan melompat meninggalkan DAP.

Naib Pengerusi DAP Perak itu menegaskan, beliau tetap bersama DAP walaupun Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka yang juga ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee telah menyatakan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional.