KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membidas laporan Sarawak Report yang kononnya mengatakan parti Islam itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, seandainya benar parti Islam itu menerima dana tersebut, sudah pasti Pas boleh menguasai negara sepenuhnya pada PRU yang lalu.

"Jika RM90 juta benar adanya, sudah pasti membolehkan Pas menguasai negara sepenuhnya dan jika benar, UMNO yang menyogok RM90 juta sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat," katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook beliau di sini, pada Selasa.

Abdul Hadi menambah, jika benar wujud, sudah pasti Pas akan lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas.

"Pas  juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar. Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta," tambahnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu, sekiranya Pas benar-benar mempunyai sejumlah duit, sudah pasti Pas tidak akan membocorkannya walaupun sedikit.

Maka ujarnya, sekiranya ada sumbangan sebanyak RM90 juta itu, sudah pasti akan dibelanjakan dengan sempurna dan takkan disia-siakan.

"Bahkan, jika dilaburkan, maka pusingannya sudah menjadi lebih daripada RM900 juta," tambahnya.

Abdul Hadi menjelaskan, ahli-ahli Pas yang sebenar mengetahui tentang pengorbanan yang dilakukan kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat.

"Wakil rakyat Pas pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya.

"Semua lapisan ahli Pas memberikan sumbangan sehingga mereka yang termiskin daripada kalangan petani, nelayan dan buruh kasar menyumbang dengan penuh keikhlasan.

"Bahkan, ada ahli Pas yang menjual tanah dan sebagainya kerana ingin membantu bayaran deposit calon yang bertanding di kawasannya disebabkan calonnya tidak berduit," kata beliau.

Beliau turut menegaskan, pendukung perjuangan Islam seperti Pas tidak menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat kenyataan terbuka bahawa Pas tidak meminta jawatan dalam kerajaan seperti mana parti lain, tetapi menerima apa sahaja bentuk tanggungjawab mahupun jawatan yang diamanahkan,” katanya.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa Pas telah gagal menjelaskan dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.