Pimpinan Pakatan Harapan terutama dari Parti Amanah Negara (Amanah) seharusnya mengkaji dahulu apa jenis hubungan yang dijalinkan dengan parti DAP, sebelum memberi sebarang komen atau pandangan terhadap Piagam Muafakat Nasional yang telah ditandatangani Pas dan UMNO, Sabtu lalu.

Itu tegas Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya mengenai komen beberapa pimpinan tertinggi dari parti Amanah, yang melihat kerjasama yang terjalin tidak mampu memberi impak yang besar kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Tambah beliau, reaksi yang ditunjukkan melalui perkongsian artikel atau kenyataan dari beberapa pimpinan Pakatan Harapan juga menunjukkan kerjasama antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu bakal memberi impak yang besar terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ahmad juga secara sinis mencabar kepimpinan dari Parti Amanah Negara untuk mengemukakan hujah kukuh berkenaan kerjasama yang terjalin bersama parti DAP.

"Dia (Amanah) pakat dengan DAP tu pakai hujah apa? Kita mintak hujah dia dululah, dia bawa hudaibiyah atau khandak?.

“Itu (piagam) hujah yang ada pada kita. Maksudnya Pas dalam setiap tindakan yang diambil kita ada alasan, ada sandaran tapi yang paling penting sekali kita saksikan sekarang ni, tindak balas daripada PH, dari Amanah sendiri, menunjukkan bahawa kerjasama ini memberi impak yang besar pada politik negara,” ujar Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Persidangan Muafakat Nasional Peringkat Negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Khamis.

Pada Rabu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar melalui perkongsian di laman Facebooknya, menyifatkan Pas sentiasa bertukar pendirian termasuk mengenai kerjasama yang terjalin dengan beberapa parti termasuk DAP sebelum ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebelum itu, menyatakan keyakinan bahawa kerjasama antara Pas dan UMNO tidak mampu untuk merampas pentadbiran daripada kerajaan Pakatan Harapan.