KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sedia menerima mana-mana parti politik yang ingin bersama parti itu. 

Demikian jelas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung desas-desus Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menyertai BN.

"Di dalam Perlembagaan BN terdapat tiga kategori, satu adalah parti teras, kedua parti gabungan atau Friends of BN, dan ketiga adalah direct membership.

"Maka ketiga-tiga ini memperlihatkan keterbukaan BN untuk menerima mereka yang yakin dengan prinsip BN bersama dengan BN.

"Setelah melontarkan perkara ini dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu, ini memberikan gambaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM, tapi parti-parti lain, sebesar dan sekecil mana pun, sebagai salah satu daripada tiga prinsip kategori itu," jelasnya ketika ditemui media pada Sabtu.

Bagaimanapun tambah Ahmad Zahid, beliau dan kepimpinan BN belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan PBM itu. 

"Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak akan membuat keputusan seorang diri.

"Saya akan berbincang dengan rakan kepimpinan BN untuk mencanaikan tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon untuk menyertai BN," katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden PBM, Larry Sng dilaporkan berkata, permohonan parti itu untuk menyertai BN masih dalam proses.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, PBM memberi mandat kepada Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain untuk membentuk kerjasama politik.