KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengulangi gesaan untuk mengadakan sidang Parlimen tanpa perlu menunggu tempoh proklamasi darurat berakhir.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata ia kerana kebanyakan Ahli Parlimen sudah selesai menerima dos kedua suntikan vaksin COVID-19 sekali gus mengurangkan kebimbangan penularan COVID-19 sekiranya Parlimen kembali bersidang.

Teresa berkata adalah tidak munasabah untuk tidak membenarkan wakil rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka di Parlimen memandangkan aktiviti dan sektor ekonomi lain diberikan kebenaran untuk dibuka.

“Kami tahu pada 6 April ini, kerajaan akan membuka stadium dan membenarkan orang ramai untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Namun, kebanyakan Ahli Parlimen sudah menerima dos kedua vaksin, mengapa Parlimen tidak boleh dibuka?

“Sebelum ini, alasannya adalah bahawa kebanyakan Ahli Parlimen berusia 60 tahun ke atas dan tergolong dalma kumpulan berisiko tinggi tetapi kini, kami sudah selesai menerima dos kedua suntikan vaksin,” katanya.

TERESA: Kebanyakan Ahli Parlimen sudah menerima dos kedua vaksin, mengapa parlimen tidak boleh dibuka? - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur sesudah selesai menerima dos kedua vaksin Pfizer BioNTech pada Isnin.

Antara Ahli Parlimen yang turut hadir bagi menerima dos kedua vaksin tersebut ialah Lim Lip Eng (Kepong), Datin Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawan), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Selangor) dan M. Kulasegaran (Ipoh Barat).

Dalam pada itu, Nik Nazmi dan Fahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut juga senada dengan Teresa dan berkata Parlimen perlu bersidang kembali bagi memastikan wujudnya proses semak dan imbang ke atas segala keputusan yang dibuat kerajaan.

NIK NAZMI: Ia supaya wakil rakyat dapat menjalankan tugas kami dan tentunya untuk kami sebagai pihak pembangkang untuk memantau apa yang dibuat kerajaan dan juga bagi kerajaan membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti dalam parlimen. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

“Pelik mengapa Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang merupakan badan pembuat undang-undang paling tinggi di negara ini tidak boleh dibuka untuk Ahli Parlimen melaksanakan tugas kami.

“Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah bahawa proklamasi darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang.

“Ia supaya wakil rakyat dapat menjalankan tugas kami dan tentunya untuk kami sebagai pihak pembangkang untuk memantau apa yang dibuat kerajaan dan juga bagi kerajaan membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti dalam Parlimen,” kata Nik Nazmi.

FAHMI: Parlimen perlu bersidang untuk memastikan wujudnya proses semak dan imbang ke atas segala keputusan yang dibuat kerajaan. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.